SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meluluskan pelanjutan kontrak syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) sebagai operator tunggal Sistem Visa Luar Negara (VLN) dan One Stop Centre (OSC) tanpa melalui Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) dan Kabinet.

Malah, saksi ketiga pendakwaan, Siti Jalilah Abd Manap memberitahu bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri itu turut melanjutkan kontrak UKSB pada 2017 walaupun kontrak syarikat itu masih lagi berbaki tiga tahun.

Menurut bekas Timbalan Setiausaha Bahagian Hal Ehwal Imigresen, Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu, pelanjutan kontrak itu adalah terlalu awal dan tidak selari dengan klausa 2.2.1 Perjanjian Sistem VLN.

Ketika membacakan penyataan bertulis, Siti Jalilah berkata, satu minit ceraian ditandatangani oleh Ahmad Zahid pada 15 Jun 2017 di ruangan "Keputusan YAB Dato’ Seri Menteri Dalam Negeri”, dengan mencatat "Sambung kontrak selama tiga tahun tanpa ke UKAS dan Kabinet”.

"Pada 16 Jun 2017, pejabat Timbalan Perdana Menteri telah menghantar satu surat iringan yang melampirkan surat daripada UKSB bertarikh 14 Jun 2017 bertajuk Cadangan Lanjutan Tempoh Pelaksanaan Kontrak Perkhidmatan Sistem Visa Luar Negara (VLN) dan eVISA Bagi Tempoh Tiga Tahun Bermula Dari 31 Oktober 2019 Sehingga 31 Oktober 2022.

"Surat UKSB ini telah diminitkan oleh Datuk Seri Ahmad Zahid seperti berikut: "Dato’ Sri KSU, Sila sambung kontrak VLN/E-Visa sehingga tahun 2022 & tidak perlu ke UKAS & Kabinet. Sila segerakan”," katanya memberitahu mahkamah di sini, hari ini.

Prosiding berlangsung di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa.

Sementara itu, ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin adakah terdapat keperluan untuk pelanjutan kontrak tersebut disegerakan, Siti Jalilah menjawab: "Tiada keperluan."

Ahmad Zahid juga, katanya, telah meluluskan permohonan untuk melanjutkan tempoh pelaksanaan Sistem VLN dan eVISA untuk tempoh enam tahun dari 31 Oktober 2019 hingga akhir tahun 2025.

Jelas beliau juga, selepas mendapat keputusan daripada Ahmad Zahid dalam Minit Ceraian bertarikh 15 Jun 2017, pihak Bahagian Hal-Ehwal Imigresen KDN kemudian menyediakan dua draf perjanjian tambahan untuk semakan dan kelulusan Penasihat Undang-Undang KDN.

BACA: Perbicaraan kes Zahid: Status MySejahtera peguam bela bertukar 'kontak kasual dengan simptom'

Siti Jalilah turut menghantar surat bertarikh 19 Jun 2017 atas inisiatif sendiri untuk mendapatkan penjelasan lanjut daripada UKAS untuk dijadikan panduan oleh pihak Bahagian Hal Ehwal Imigresen KDN dalam menyediakan syor-syor untuk pertimbangan dan keputusan Menteri Dalam Negeri serta untuk mengelakkan keputusan sedemikian dibuat oleh Menteri Dalam Negeri pada masa hadapan.

Ketika ditanya Wan Shaharuddin kenapa semua surat berkenaan melanggar tatacara, Siti Jalilah menjawab: "Arahan dan tatacara bagi kontrak perlu dibawa ke UKAS bagi mendapatkan kelulusan Jemaah Menteri."

Jelas beliau lagi, perkara itu juga perlu dibawa ke perhatian UKAS kerana ia melibatkan pengambilan sumber kewangan orang awam dan projek itu mendapat lebih RM25 juta.

Terdahulu, saksi pendakwaan kedua, bekas Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Hal Ehwal Imigresen Kementerian Dalam Negeri (KDN), Azman Azra Abdul Rahman ketika disoal balas oleh pasukan pembelaan berkata, sebarang keputusan memberikan kontrak atau pelanjutan kontrak di KDN adalah di bawah kuasa Menteri Dalam Negeri, dan bukannya individu lain termasuk Perdana Menteri.

Perbicaraan bersambung semula pada 1 Jun ini.