KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes saman Datuk SM Faisal SM Nasimuddin Kamal terhadap penyanyi rap, Caprice berhubung kes memuat naik hantaran berbaur fitnah di Mahkamah Sesyen di sini ditetapkan bermula 4 hingga 6 Oktober depan.

Peguam, Puteri Ummi Kartini Abd Latiff mewakili SM Faisal selaku plaintif berkata, perbicaraan kes membabitkan SM Faisal dengan Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli berlangsung selama tiga hari, di hadapan Hakim Azian Othman.

Menurutnya, mahkamah mengambil maklum kedua-dua pihak kini berbincang untuk menyelesaikan kes secara baik di luar mahkamah.

“Mahkamah meminta supaya dua pihak ini memaklumkan status penyelesaian secara baik pada pengurusan kes akan datang.

“Hakim kemudiannya menetapkan 28 Julai ini untuk pengurusan kes selanjutnya," kata Puteri Ummi Kartini.

Pada 15 Ogos lalu, SM Faisal, 43, selaku plaintif memfailkan saman itu di Mahkamah Sesyen di sini menerusi Tetuan Akberdin & Co dengan menamakan Caprice sebagai defendan.

Dalam kes ini, Caprice diwakili peguam Harjoth Singh.

Berdasarkan dokumen yang diperoleh, SM Faisal berkata, pada 27 Jun tahun lalu, Mahkamah Tinggi Syariah di sini memerintahkan Emilia Hanafi, 43, yang juga bekas isterinya menjalani hukuman penjara tujuh hari kerana gagal mematuhi perintah komital mahkamah.

Plaintif mendakwa insiden itu kemudian dimanipulasikan oleh pihak-pihak tertentu dengan niat mala fide (niat jahat) tanpa sebarang rujukan atau klarifikasi daripada pihak plaintif.

Sehari selepas itu, plaintif mendakwa, defendan dengan niat sama turut mengherdik, mencemuh dan memburukkan plaintif atau Mahkamah Syariah dengan memuat naik video atau hantaran melalui Instagramnya.

Plaintif mendakwa, tindakan defendan menyebabkan dia tertekan dari segi emosi selain cemuhan dan gangguan daripada pihak-pihak yang ada kaitan atau menyokong kempen untuk menjatuhkan plaintif. -- Sinar Harian