MALAYSIA
Percubaan sistem NIISe di KSAB, BSI bermula 22 Sept ini - KDN

KDN akan melaksanakan percubaan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) di beberapa pintu masuk utama termasuk KSAB, BSI dan KLIA bermula 22 Sept hingga 28 Feb 2026.
PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan melaksanakan percubaan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dan Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor bermula 22 Sept hingga 28 Feb tahun depan.
Ringkasan AI
- KDN akan melaksanakan percubaan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) di beberapa pintu masuk utama termasuk KSAB, BSI dan KLIA bermula 22 Sept hingga 28 Feb 2026.
- Sepanjang tempoh percubaan, sistem sedia ada seperti Kod QR dan MyBorderPass masih digunakan, namun orang ramai digalakkan memuat turun aplikasi MyNIISe.
- NIISe merupakan inisiatif reformasi kerajaan yang dipercepatkan pelaksanaannya dan dijangka menggantikan sistem semakan keselamatan automatik sedia ada selepas tempoh percubaan.
Menurut KDN, sepanjang tempoh percubaan NIISe berlangsung, sistem Kod QR dan aplikasi MyBorderPass sedia ada masih diteruskan untuk proses kemasukan dan perlepasan imigresen.
"Walau bagaimanapun, orang ramai termasuk pelawat asing digalakkan untuk memuat turun aplikasi MyNIISe bagi tujuan proses kemasukan dan perlepasan imigresen di laluan pintu masuk yang telah diaktifkan penggunaannya di sepanjang tempoh percubaan ini," menurut kenyataan itu.
Orang ramai turut diingatkan dokumen perjalanan atau pasport yang sah masih diperlukan untuk proses kemasukan dan perlepasan imigresen menggunakan sistem MyNIISe mengikut ketetapan Akta Imigresen 1959/63.
Sistem NIISe adalah satu daripada inisiatif utama di bawah agenda reformasi kerajaan dan pelaksanaannya dipercepat daripada jadual asal iaitu Mac 2026.
Pada akhir tempoh percubaan, sistem NIISe akan menggantikan sistem kod QR sedia ada bagi meningkatkan dan menaik taraf kecekapan sistem semakan keselamatan automatik di pintu masuk negara.
Aplikasi MyNIISe boleh dimuat turun di Apple App Store, Google Play Store dan Huawei App Gallery.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami