BEIJING: Jumlah pergerakan pelancong dalam negeri di China sepanjang tempoh percutian sempena Tahun Baharu Cina (TBC) mencatatkan sebanyak 308 juta orang sekali gus menjana RMB375.84 bilion (RM235.14 bilion) kepada pendapatan industri pelancongan, menurut statistik terkini yang diumumkan pihak berkuasa China.

Dari segi peratusan pula jumlah pelancong meningkat sebanyak 23.1 peratus manakala pendapatan menokok sebanyak 30 peratus.

Pada masa sama, kutipan tiket untuk tayangan filem sempena percutian TBC berjumlah RMB6.76 bilion meningkat 11.89 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Selain itu, jumlah individu yang keluar masuk sempadan turut melonjak sebanyak 120.5 peratus berbanding tahun 2022.

Tahun ini merupakan percutian TBC pertama selepas China melaksanakan dasar terbaharu mengenai pembendungan COVID-19.

Angka yang memberangsangkan itu memperlihatkan bahawa ekonomi China sedang menunjukkan momentum pemulihan yang kuat sekali gus mencerminkan sektor penggunaan di negara ini yang dinamik dan berpotensi.

Penggunaan ialah pemacu utama bagi ekonomi China dalam jangka masa panjang.

Bagaimanapun, perbelanjaan dalam penggunaan hanya menyumbang 32.8 peratus kepada pertumbuhan ekonomi negara ini pada tahun 2022, lebih rendah berbanding pembentukan modal yang merekodkan 50.1 peratus.

Persidangan kerja ekonomi pusat yang diadakan pada akhir tahun lalu telah menegaskan bahawa misi memulihkan dan meluaskan penggunaan patut diletakkan sebagai keutamaan pada tahun 2023.

Berikutan pelaksanaan dasar terbaharu mengenai pembendungan COVID-19, pelbagai tempat di China telah mengambil langkah untuk merangsang penggunaan.

Kementerian Perdagangan juga menetapkan tahun 2023 sebagai "Tahun Penjanaan Penggunaan".

-- BERNAMA