KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada Rabu.

Pertemuan secara maya di Istana Negara itu diadakan sebelum Ismail Sabri mempengerusikan mesyuarat Kabinet.

Dalam satu kenyataan di sosial media Facebook, Istana Negara berkata, sesi tersebut berlangsung selama 30 minit bermula pukul 8.30 pagi.

"Sesi hari ini juga yang pertama bagi Ahli Parlimen Bera itu sejak beliau dilantik sebagai Perdana Menteri ke-9.

"Mesyuarat Pra-Kabinet adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Al-Sultan Abdullah untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama Perdana Menteri berkenaan urusan dan isu-isu berkaitan kerajaan," kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, hari ini juga merupakan mesyuarat Kabinet pertama kerajaan pimpinan Ismail Sabri.

Sudah menjadi rutin mesyuarat Kabinet dijalankan pada setiap hari Rabu.

Bagaimanapun, mesyuarat itu akan dijalankan secara dalam talian kerana Perdana Menteri kini sedang menjalani kuarantin di rumah selepas didapati ada kontak rapat dengan pesakit COVID-19.

Dalam pada itu, beliau juga akan mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19.

Antara perkara utama yang dibincangkan ialah berkaitan peralihan kawasan Lembah Klang ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang kini telah mencapai kadar vaksinasi melebihi 80 peratus.