MALAYSIA
Perhilitan tangkap enam gajah liar di Kluang

Perhilitan berjaya menangkap enam gajah di Kampung Pinggir, Kahang, dekat Kluang menerusi pelaksanaan Operasi Bersepadu Translokasi Gajah yang dilancarkan Isnin lepas. - Foto Facebook Ah Soon
JOHOR BAHRU: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berjaya menangkap enam gajah di Kampung Pinggir, Kahang, dekat Kluang menerusi pelaksanaan Operasi Bersepadu Translokasi Gajah yang dilancarkan Isnin lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon berkata pasukan itu telah memulakan operasi di sekitar kawasan Kampung Sri Lukut, Kahang dan jumlah itu direkodkan setakat 2 petang hari ini.
"Gajah-gajah yang ditangkap agak besar dan ada yang berketinggian mencecah dua meter serta merupakan kumpulan ID Taman Negara yang telah mendatangkan konflik di sekitar Kampung Sri Lukut, sejak kebelakangan ini.
"(Susulan itu), Unit Translokasi Gajah (UTG) Perhilitan Johor dan Semenanjung masih meneruskan operasi tangkapan yang lain," katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.Operasi itu bertujuan mengurangkan konflik gajah secara sistematik di lokasi berisiko tinggi selain mengenal pasti dan memindahkan kumpulan gajah yang aktif mengganggu kawasan pertanian, kampung serta kawasan perumahan.
Selain itu, ia bertujuan memulihkan ekosistem melalui kawalan populasi di luar habitat asal dan pengumpulan data saintifik untuk penambahbaikan dasar pengurusan gajah liar.
Kerajaan Johor menyalurkan peruntukan berjumlah RM600,000 bagi menyokong pelaksanaan operasi translokasi berkenaan, sekali gus mencerminkan komitmen menyokong usaha pemuliharaan dan pengurusan konflik hidupan liar.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami