KUALA LUMPUR: Satu perhimpunan yang berlangsung di ibu negara hari ini, tidak mematuhi Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012, kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid.

Beliau berkata perhimpunan yang dihadiri kira-kira 850 peserta itu, gagal memenuhi butiran diperlukan oleh Jadual 4 dalam Seksyen 10 akta berkenaan.

"Mengikut Seksyen 9 penganjur perlu kemukakan permohonan dan Jadual 4 dalam Seksyen 10 pula ada format yang penganjur kena patuhi yang telah diperuntukkan undang-undang, mereka kena ikut format itu.

"Antaranya kena nyatakan dengan jelas siapa penganjur, kena dapatkan kebenaran pemilik premis dan tanah di kawasan perhimpunan diadakan, seterusnya sertakan sekali kebenaran itu dalam permohonan yang dibuat," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini hari ini.

Himpunan Aman Selamatkan Malaysia tak patuh Akta Perhimpunan Aman 2012


Allaudeen berkata kesemua maklumat tersebut penting kepada polis, dalam memudah cara sesuatu perhimpunan, namun kekeliruan ditimbulkan penganjur terutamanya berkenaan lokasi perhimpunan menyukarkan polis menjalankan tugas mereka.

Sehubungan itu, beliau berkata polis akan melihat kembali tindakan susulan sewajarnya atas kegagalan perhimpunan yang bermula pada 1.15 tengah hari dan berakhir pada 3.30 petang di Kompleks Sogo itu dalam mematuhi APA 2012.

"Kami akan melihat kepada kesemua aspek yang kami percaya menyebabkan perhimpunan hari ini tidak mematuhi kepada akta," katanya.

Dalam pada itu, Allaudeen mengesahkan menerima satu laporan polis dibuat penganjur berdasarkan tuntutan yang dibuat dalam perhimpunan tersebut, dan pihaknya akan mengkaji terlebih dahulu laporan itu untuk tujuan pengelasan kandungan.

"Kami akan panggil sesiapa sahaja yang boleh membantu siasatan, termasuk 16 individu yang berucap sepanjang perhimpunan tadi," katanya.

Beliau juga menafikan dakwaan mesej tular yang mengatakan terdapat beberapa Ahli Parlimen 'dikepung' polis, sehingga tidak dapat menyertai perhimpunan itu.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mendedahkan, polis telah menerima 22 laporan polis daripada individu yang tidak bersetuju dengan perhimpunan anjuran Pemuda Perikatan Nasional (PN) itu.

-- BERNAMA