Perjanjian ART Malaysia-AS belum dikuatkuasakan - PM Anwar

Anwar berkata penguatkuasaan peruntukan dalam perjanjian itu belum berlaku, memandangkan masih terdapat ruang untuk jawapan balas serta tiada jadual tamat tempoh rundingan setakat ini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat (AS) yang dimeterai pada 26 Oktober, 2025 semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 masih belum dikuatkuasakan berikutan kerajaan masih dalam peringkat perundingan dan mahukan jaminan bertulis yang jelas, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-AS yang dimeterai pada 26 Oktober, 2025 masih belum dikuatkuasakan disebabkan kerajaan masih dalam peringkat perundingan dan memerlukan jaminan bertulis yang jelas dari Amerika Syarikat.
- Anwar menjelaskan bahawa penguatkuasaan peruntukan dalam perjanjian tersebut masih belum berlaku kerana terdapat ruang untuk jawapan balas dan tiada jadual tamat tempoh rundingan yang ditetapkan setakat ini.
- Kerajaan Malaysia mengambil serius kebimbangan mengenai ART yang mungkin menjejaskan ruang dasar domestik termasuk subsidi, kawalan strategik sensitif, dan dasar berkecuali Malaysia, yang akan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang akan dipimpin oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
"Jadi penguatkuasaannya itu belum berlaku," kata Anwar yang juga Menteri Kewangan pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) berhubung jaminan bahawa ART tidak menjejaskan kedaulatan Malaysia dan sama ada kerajaan telah menghantar pemberitahuan bertulis seperti dinyatakan pada 3 November, 2025 berkaitan ART dengan AS.
Anwar berkata kerajaan turut mendapatkan jaminan melalui perbincangan bersama Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR), namun berpandangan bahawa jaminan tersebut perlu dinyatakan secara bertulis.
"Umpamanya dengan USTR, jaminan dia itu adalah jaminan bertulis dalam mesyuarat yang dicatat. Tetapi kita berpendapat lebih baik jaminan itu bertulis dan dijadikan sebagai lampiran kepada perjanjian. Hal-hal itu belum dimuktamadkan," katanya.
Perdana Menteri berkata perkara itu juga akan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang akan diperincikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Beliau turut menjelaskan bahawa kerajaan mengambil serius kebimbangan dibangkitkan berkaitan potensi perjanjian itu menjejaskan ruang dasar domestik termasuk subsidi, kawalan strategik sensitif serta dasar berkecuali Malaysia.
"Itu akan dijelaskan (dalam mesyuarat)...apakah apa-apa usul pembaikan atau penyesuaian atau penjelasan. Saya juga telah jelaskan...dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri sebelum ini telah jelaskan dan saya dimaklumkan oleh menteri terdapat 35 soalan akan dijelaskan," katanya.
Anwar turut menegaskan penggubalan dasar negara berkaitan ART tidak memerlukan sebarang pindaan Perlembagaan selagi ia tidak bertentangan dengan Perlembagaan.
Sementara itu, beliau berkata Malaysia tidak terkecuali terdedah kepada tekanan ekonomi dan keselamatan oleh negara kuasa besar, bagaimanapun strategi kerajaan adalah untuk terus memperkukuh kerjasama serantau dan antarabangsa di peringkat ASEAN dan memperluas jaringan dengan Kesatuan Eropah (EU), ASEAN-EU serta meningkatkan hubungan dan perjanjian dengan negara lain termasuk Brazil, Afrika Selatan, China, Australia dan India.
"Bagaimana kita dapat menyelamatkan negara kita dari tekanan yang keterlaluan ialah dengan menguatkan hubungan antarabangsa dan mengekalkan hubungan dengan diplomasi yang lebih bijaksana, maksudnya tidak mengambil sikap permusuhan tetapi tahu batasnya," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


