Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan bahawa beliau memungkiri perjanjian yang dibuat bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menghormati keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Sebaliknya beliau mendakwa Najib gagal mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan dalam perjanjian yang melibatkan bekas Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla.

"Beliau (Jusuf) datang ke sini sebulan sebelum pilihan raya dan bertemua saya dan Najib berasingan. Ada beberapa perkara dipersetujui," katanya kepada pemberita di Kongres Nasional Keadilan ke-9 di Dewan Sivik MBPJ hari ini.

Beliau menegaskan syarat-syarat yang ditetapkan dalam perjanjian tersebut tidak dipatuhi antaranya mengadakan pilihan raya yang bebas dan adil, kebebasan akses kepada media dan melaksanakan beberapa tuntutan reformasi pilihan raya yang diminta oleh Bersih.

"Pertamanya, menyentuh etika berkempen supaya media tidak digunakan untuk mencaci pembangkang. Propaganda dan serangan berterusan mesti dihentikan tetapi ini tidak berlaku.

"Kami bersetuju untuk menerima keputusan pilihan raya bergantung kepada syarat-syarat yang dinyatakan. Untuk datang kembali dan mengatakan lupa syarat-syarat perjanjian dan hanya menerima keputusan yang penuh penipuan amat sukar untuk saya terima," katanya.

Sebaliknya Anwar mendakwa beliau memberitahu Jusuf bahawa tidak sukar untuk Najib bersetuju tetapi tiada apa yang berlaku.

Anwar juga menegaskan bahawa perjanjian itu adalah rahsia tidak seperti yang didakwa, kerana beliau secara terbuka bercakap tentang etika berkempen dan keperluan untuk pilihan raya yang adil.

Sebelum ini, akhbar The Wall Street Journal (WSJ) melaporkan Jusuf mendakwa Anwar telah memungkiri satu perjanjian rahsia mengenai PRU13 yang dikatakan telah dibuat di antara beliau dengan Najib.

Perjanjian bertulis itu didakwa antara lain merangkumi syarat dimana kedua-dua belah pihak perlu menerima keputusan PRU-13 dan tidak membuat serangan peribadi.

Jusuf yang mempunyai sejarah menjadi orang tengah dalam beberapa perjanjian damai sebelum ini termasuk di Thailand dan Sri Lanka, dipetik sebagai berkata: "Kami telah membuat satu komitmen ... Pada hari Isnin (6 Mei), saya bertanya kepada Anwar untuk menerima dan berdepan realiti. Tetapi mereka berkata, 'Tidak, tidak, tidak, tidak, "