KUALA LUMPUR: Usaha menentang penyakit tuberkulosis (TB) di negara ini memerlukan pendekatan secara menyeluruh dan merangkumi pelbagai aspek dengan memberikan tumpuan kepada kaedah diagnostik lanjutan, mematuhi pelan rawatan yang ditetapkan dan mematuhi langkah-langkah pencegahan.

Pakar Perunding Pulmonologi Intervensi dan Perubatan Dalaman di Pusat Perubatan Sunway, Dr Rosmadi Ismail berkata menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), tuberkulosis (TB) adalah penyakit berjangkit yang paling kerap menyerang paru-paru yang berpunca daripada sejenis bakteria.

"TB boleh merebak melalui udara apabila individu yang dijangkiti penyakit itu batuk, bersin atau meludah tetapi ia boleh diubati.

"Di Malaysia, penyakit TB kekal sebagai satu daripada masalah utama dalam bidang kesihatan awam, dengan peningkatan yang membimbangkan sebanyak 17 peratus kes pada 2022 berbanding 2021, dan peningkatan 12 peratus kes kematian berkaitan penyakit TB pada 2022 berbanding 2021," katanya menerusi kenyataan dikeluarkan Pusat Perubatan Sunway.

Dr Rosmadi berkata, pelbagai kaedah perubatan digunakan bagi mengesan awal penyakit ini antaranya menggunakan ujian mikroskopik smear, kultur dan kepekaan, ujian amplifikasi asid nukleik (NAAT), ujian pemeriksaan radiografi (sinar-x) dada dan ujian klinikal seperti Ujian Kulit Tuberkulin (TST).

"Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat beberapa teknik inovatif yang kini sedang diuji secara klinikal di seluruh dunia, termasuk teknologi biopenderiaan dan nano diagnostik yang menjanjikan keputusan yang lebih cepat dan tepat," katanya.

Beliau berkata, penyelidikan berterusan yang memberi tumpuan kepada kaedah inovatif seperti pengesanan bantuan komputer (CAD) melalui kecerdasan buatan, teknologi penangkapan secara aerosol dan ujian kulit berasaskan antigen bakal merevolusikan diagnosis penyakit TB pada masa depan.

Dr Rosmadi berkata, rawatan penyakit TB di Malaysia dilakukan mengikut garis panduan WHO dengan mengguna rawatan standard untuk penyakit TB rentan ubat (drug-susceptible) di Malaysia melibatkan gabungan empat jenis ubat: ethambutol, rifampicin, isoniazid dan pyrazinamide, yang diberikan kepada pesakit untuk tempoh enam hingga lapan bulan.

Beliau berkata, satu daripada komponen penting rawatan penyakit TB adalah strategi rawatan pemerhatian langsung atau Directly Observed Treatment (DOT) iaitu pesakit berada di bawah pengawasan pekerja penjagaan kesihatan untuk memastikan pengambilan ubat yang lengkap.

"Walaupun tiada ubat atau rawatan baharu yang berjaya membuahkan hasil yang lebih baik dalam merawat penyakit TB, ia adalah penting untuk mengetahui bahawa rawatan kami untuk kes penyakit TB rentan ubat melibatkan rejimen ubat yang berbeza dan tempoh rawatan lanjutan," katanya.

Menurut beliau, langkah pencegahan yang boleh diambil antaranya ialah menjauhi tempat sesak, peka terhadap tubuh badan, melakukan pemeriksaan segera, memakai kelengkapan perlindungan jika bekerja melibatkan interaksi dengan ramai orang dan mendapat perlindungan vaksin penyakit TB yang tersedia kini iaitu Bacillus Calmette Guerin (BCG).

Dr Rosmadi berkata. Kementerian Kesihatan Malaysia juga telah menerbitkan Garis Panduan Amalan Klinikal (CPG) untuk menguruskan penyakit TB yang merangkumi cadangan untuk mendiagnosis, merawat dan mencegah kes penyakit itu. - BERNAMA