Skip to main content

Malaysia

Perkahwinan tidak daftar jejas hak anak, kebajikan keluarga - Zulkifli

51745828389_TBakadnikahjpg.jpg
Ketiadaan pendaftaran perkahwinan secara rasmi juga boleh menimbulkan keraguan mengenai status nasab seseorang anak, manakala isteri mungkin menghadapi kesukaran untuk membuat tuntutan nafkah atau mutaah. - Gambar hiasan
Advertisement

LABUAN: Perkahwinan yang tidak didaftarkan boleh memberi implikasi serius terhadap hak anak-anak dan kebajikan keluarga, termasuk kesukaran mendapatkan sijil kelahiran, akses pendidikan dan penjagaan kesihatan, serta urusan pewarisan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan.

Beliau berkata, masih terdapat pasangan yang menjalani hidup sebagai suami isteri selama berdekad tanpa mendaftarkan perkahwinan mereka, manakala sesetengahnya berkahwin di luar kawasan atau melalui pendaftar perkahwinan yang tidak sah tanpa mematuhi prosedur yang ditetapkan di bawah Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303).

“Implikasi daripada kegagalan atau kelewatan mendaftarkan perkahwinan bukan perkara kecil, sebaliknya besar dan boleh berpanjangan,” katanya ketika merasmikan Program Literasi Undang-Undang Syariah Wilayah Persekutuan Labuan 2026 di Kompleks Darul Kifayah, di sini, hari ini.

Zulkifli berkata, anak-anak antara yang paling terjejas akibat perkahwinan yang tidak didaftarkan, kerana boleh menyukarkan proses mendapatkan sijil kelahiran, akses pendidikan dan penjagaan kesihatan, selain menimbulkan isu berkaitan identiti dan kewarganegaraan.

Beliau berkata, ketiadaan pendaftaran perkahwinan secara rasmi juga boleh menimbulkan keraguan mengenai status nasab seseorang anak, manakala isteri mungkin menghadapi kesukaran untuk membuat tuntutan nafkah atau mutaah.

“Urusan berkaitan harta pusaka dan faraid juga boleh menjadi rumit serta mencetuskan pertikaian dalam keluarga apabila berlaku kematian,” katanya.

Zulkifli berkata, kementeriannya bersama-sama agensi agama dan rakan strategik, mengambil pendekatan proaktif bagi menangani isu pendaftaran perkahwinan yang masih tertanggguh serta pengesahan perkahwinan dalam kalangan penduduk.

“Kami bukan untuk mencari kesalahan atau menghukum sesiapa, sebaliknya untuk membantu, memudah cara dan menyelesaikan isu ini secara menyeluruh demi masa depan keluarga dan anak-anak,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa mereka yang mempunyai isu berkaitan pendaftaran perkahwinan yang masih tertangguh atau mempunyai kemusykilan mengenai undang-undang perkahwinan supaya mendapatkan khidmat pegawai di kaunter interaktif yang disediakan sepanjang program hari ini. 

“Jangan berasa malu atau takut,” katanya. 

Zulkifli berkata, pendaftaran perkahwinan penting untuk memastikan seebuah perkahwinan itu diiktiraf secara rasmi dan melindungi hak serta kepentingan pasangan dan anak-anak.

Beliau berkata, pematuhan terhadap undang-undang syariah tidak seharusnya dilihat sebagai beban, sebaliknya satu bentuk perlindungan yang dapat mengelak pertikaian serta menjamin masa depan keluarga.

Program yang dianjurkan Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan itu melibatkan kerjasama pelbagai agensi, termasuk Pejabat Ahli Parlimen Labuan, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Jabatan Bantuan Guaman, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, Tabung Haji dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM).

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement