LUMUT: Segala perkakasan bagi projek perolehan kapal tempur pesisir (LCS) bernilai RM1.7 bilion dalam simpanan gudang Boustead Naval Shipyard (BNS) di sini, tidak usang.

Sebaliknya, Ketua Pegawai Eksekutif BNS, Ir Azhar Jumaat berkata, kesemua perkakasan itu masih mampu berfungsi dengan baik dan boleh digunakan untuk tempoh 25 tahun lagi.

Jelasnya, jaminan itu diberikan pengilang peralatan asal (OEM) terutama yang berkaitan peralatan kritikal misi dan tempur.

"Ada yang mengatakan 15 peratus daripada peralatan yang disimpan ini sudah usang. Ini tidak tepat kerana apabila dikatakan usang bermakna sudah tidak boleh digunakan.

"Tetapi keadaan sebenar di sini dalam proses mengalami usang dan keusangan itu masih boleh diurus dan dipelihara sekiranya kita menjalankan penyelenggaraan rutin," katanya.

Azhar berkata demikian dalam sesi taklimat dan lawatan berkaitan perkembangan terkini Projek LCS di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), dekat sini, pada Sabtu.

Dalam lawatan kira-kira dua jam itu, seramai 48 wakil media dari pelbagai agensi dibawa melihat sendiri perkembangan lima LCS yang kini dalam proses pembinaan.

Kumpulan media yang hadir juga dibawa meninjau tiga gudang simpanan kapal BNS yang menempatkan perkakasan berkaitan projek LCS.

Tinjauan media mendapati, kesemua peralatan itu disimpan dalam keadaan teratur dengan setiap satu mempunyai label yang tertera butiran maklumat dan tarikh penghantaran.

Dalam pada itu, Azhar menjelaskan, perkakasan seperti barangan yang ditempatkan di dalam 13 gudang simpanan di situ kerana ada antaranya merupakan barangan elektronik yang sensitif dan dikhuatiri boleh terjejas akibat cuaca panas.

Beliau turut mempertikaikan kenyataan berhubung kesemua perkakasan yang diperolehi sejak 2013 itu sama ada masih berupaya untuk digunakan atau tidak kerana ia telah mengambil kira kemajuan teknologi terkini.

Azhar menjelaskan, adalah tidak adil untuk menyamakan elemen televisyen itu dengan keseluruhan peralatan yang disimpan didakwa sebagai usang sepenuhnya

"Seperti televisyen (TV), ia bukan peralatan kritikal kawalan misi tempur kerana bertujuan untuk aktiviti riadah kru kapal.

"Jadi adalah tidak adil sepenuhnya untuk menyamakan TV yang usang dengan kapal tentera," katanya.

Pada Jumaat, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh memaklumkan, kira-kira 15 peratus daripada barangan yang diperolehi dalam simpanan dengan nilai RM1.7 billion dikira usang dengan kerugian dianggarkan melebihi RM263 juta.
Ini termasuklah beberapa TV pintar untuk kegunaan LCS disimpan di gudang berkenaan untuk tempoh beberapa tahun.