GOPENG: Perkampungan Riadah dan Budaya Qing Xin Ling ditutup sementara, sehingga laporan penuh berhubung kejadian maut yang menimpa seorang pelancong warga tempatan di kawasan tersebut, disiapkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai Wong Chai Yi berkata perkara itu, penting bagi memastikan kejadian tersebut tidak berulang kembali, khususnya kepada para pelancong.

Wong berkata beliau dimaklumkan bahawa laporan mitigasi sedang dilakukan oleh pihak perunding profesional yang dilantik, demi memastikan tahap keselamatan di kawasan itu diperketatkan.

"Laporan tersebut juga mungkin mengambil sedikit masa dan langkah terbaik ialah menutup kawasan ini buat sementara waktu, bagi mencegah perkara sama daripada berlaku," katanya ketika ditemui di Perkampungan Riadah dan Budaya Qing Xin Ling di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad dalam kenyataan mengesahkan seorang warga tempatan berusia 44 tahun, maut akibat ditimpa batu di kawasan perkampungan itu dalam kejadian yang berlaku sekitar 11.30 pagi.

Wong berkata hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa yang berasal dari Pulau Pangkor itu, sedang membawa rakannya warga Vietnam ke tempat pelancongan tersebut.

Beliau berkata pihaknya turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa, selain berharap mereka tabah dalam menghadapi dugaan yang berlaku.

Sementara itu, pengusaha kawasan rekreasi tersebut Cheng Swee Kiat berkata pihaknya, bersedia membantu ahli keluarga mangsa mendapatkan pampasan melalui Insurans Tanggungan Awam.

Beliau berkata kejadian itu yang pertama kalinya berlaku di kawasan pelancongan tersebut, sejak lebih dua tahun dibuka dengan kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

"Saya mohon maaf di atas perkara tidak diingini yang berlaku dan kita berjanji akan bantu (pampasan) keluarga mangsa melalui perlindungan insurans yang disediakan oleh pihak kami," katanya.

Sementara itu, MBI dalam kenyataan mengesahkan Perkampungan Riadah dan Budaya Qing Xin Ling, telah diarahkan untuk ditutup sehingga sehingga siasatan selesai selaras dengan prosesur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

MBI memaklumkan pihak berkuasa tempatan itu kini sedang menunggu laporan dan hasil siasatan pihak polis serta agensi-agensi lain yang berkaitan, sebelum mengeluarkan kenyataan rasmi mahupun tindakan lanjut.

-- BERNAMA