KUALA LUMPUR: Sesi sidang Dewan Rakyat yang tenang sejak pagi Rabu menjadi panas pada petang selepas Datuk Seri Shahidan Kassim (PN - Arau) mengeluarkan perkataan ‘kera’ kepada Mohd Sany Hamzan (PH - Hulu Langat).

Shahidan turut menyatakan Ahli Parlimen itu “perangainya lebih teruk daripada kera di hutan”.

Mohd Sany kemudiannya menyanggah dan menegaskan, Shahidan sebagai orang lama sepatutnya memberi contoh yang baik kepada orang baharu dan tidak menggunakan perkataan seperti itu.

“Speaker, guna perkataan kera tu. Patutnya orang lama bagi contoh…bagi contohlah Arau ni. Minta tarik baliklah. Saya pun tak guna dah perkataan tak elok ni,” kata Mohd Sany.

“Dah perangai rupa itu,” celah Mohd Misbahul Munir Masduki (PN - Parit Buntar).

Mohd Sany kemudian membalas: “Parit Buntar duduklah, saya dengan Arau. Parit Buntar duduk! Saya dengan Arau sekarang ini.

“Cakaplah elok-elok. Kita ini orang Melayu, kata tadi orang Islam bawa budaya Islam tapi cakap macam mana,” katanya.

“Hulu Langat, perangai tu ubah sikit,” celah Mohd Misbahul Munir lagi.

“Saya dengan Arau, cakap elok-elok. Saya tak guna perkataan tidak elok. Minta Arau tarik balik, Ini jadi masalah, ini semua tebuk atap, atap tak tebuk, atap pecahlah…” balas Mohd Sany.

Tenang dari pagi, perkataan kera gamatkan Dewan Rakyat pada sesi petang

Beberapa Ahli Parlimen kemudian meminta Speaker, Datuk Johari Abdul masuk campur namun Speaker menegaskan beliau sengaja membiarkan perkara itu berlaku bagi membolehkan rakyat melihat sendiri apa yang berlaku dalam Dewan Rakyat.

“Tak, saya nak tengok berapa orang jerit…rakyat sedang tengok. Teruskan…teruskan…rakyat sedang tengok. Teruskan…” katanya.

“Adakah Arau sebut perkataan unparlimentary kepada Hulu Langat? Adakah Arau menggunakan perkataan tidak Islamik tadi?” soal Johari kepada Shahidan.

Shahidan menafikan: “Tidak, niat saya ikhlas. Tidak ada sangkaan buruk. Saya sebut jangan berperangai seperti kera di hutan,” jawab Shahidan.

Mendengar penjelasan itu, Johari memutuskan untuk tidak mengambil tindakan terhadap Shahidan dan kekecohan berkenaan dianggap selesai.