KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menjangkakan jumlah permohonan faedah kemalangan meningkat sehingga tiga kali ganda susulan pelaksanaan Skim LINDUNG 24 Jam yang mula berkuat kuasa 1 Jun lalu.
Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) PERKESO, Azirruan Arifin berkata, peningkatan itu dijangka berlaku berikutan perluasan perlindungan kepada kemalangan yang berlaku di luar waktu bekerja termasuk ketika cuti, cuti umum dan aktiviti harian.
“Dengan pelaksanaan LINDUNG 24 Jam bermula 1 Jun, kami menjangkakan jumlah permohonan faedah yang lazimnya sekitar 80,000 hingga 90,000 setahun akan meningkat sehingga tiga kali ganda,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI bertajuk LINDUNG 24 Jam: Pelengkap Jaringan Keselamatan Sosial Pekerja.

Menurut Azirruan, pengenalan skim itu dibuat selepas PERKESO mendapati ramai pekerja gagal mendapat perlindungan kerana kemalangan yang dialami tidak memenuhi definisi bencana kerja di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.
“Daripada jumlah permohonan yang diterima, kira-kira 20 peratus tidak dapat diluluskan. Kami tidak melihatnya sebagai angka semata-mata, sebaliknya mencari jalan untuk membantu golongan ini dan LINDUNG 24 Jam merupakan jawapannya,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, sebelum ini PERKESO hanya melindungi pekerja yang mengalami kemalangan semasa bekerja atau dalam perjalanan pergi dan pulang dari tempat kerja.
Bagaimanapun, menerusi skim baharu itu, perlindungan diperluaskan kepada pelbagai situasi termasuk kemalangan ketika balik kampung, aktiviti riadah dan kemalangan yang berlaku ketika bercuti.
“Jadi bila berlaku sewaktu pulang balik hari raya, kalau dulu sebelum LINDUNG 24 jam, PERKESO tidak lindung. Sekarang, cedera disebabkan ditanduk lembu waktu hari raya korban itu pun PERKESO tanggung,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Azirruan berkata, skim itu turut menyediakan perlindungan menyeluruh termasuk gantian pendapatan, rawatan perubatan, pampasan hilang upaya serta faedah kepada waris sekiranya berlaku kematian.
“Kalau kemalangan itu ada melibatkan kematian maka kita akan berikan waris pencen bulanan. Kita akan berikan belanja untuk pengurusan mayat, jenazah RM3,000 one-off dan kita bayar dalam masa 24 jam,” katanya lagi.
Beliau berkata, PERKESO juga menanggung kos rawatan susulan termasuk fisioterapi, implan, kaki palsu serta peralatan sokongan lain yang diperlukan pencarum.
Mengulas kadar caruman, Azirruan berkata skim berkenaan melibatkan peningkatan caruman secara berperingkat bagi memastikan kelestarian dana perlindungan sosial negara.

Katanya, kadar caruman ditetapkan pada 0.75 peratus bagi dua tahun pertama sebelum dinaikkan kepada satu peratus pada tahun ketiga hingga kelima dan 1.25 peratus bermula tahun keenam.
Menurut beliau, caruman itu diwajibkan kepada pekerja yang berada di bawah liputan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 bagi memastikan lebih ramai pekerja mempunyai perlindungan asas sekiranya ditimpa musibah.