Skip to main content
Advertisement

Malaysia

PERKESO perluas Op Kesan 2.0, tumpu penjaja dan sektor gig

PERKESO OP KESAN TB
Azirruan Arifin berinteraksi dengan peniaga ketika menjalankan pemeriksaan sempena Op Kesan 2.0 bagi menyemak pematuhan terhadap kewajipan pendaftaran dan caruman. - Gambar PERKESO
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) memperluas tumpuan Op Kesan 2.0 kepada sektor informal, termasuk penjaja berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta sektor e-hailing dan p-hailing, bagi memperkukuh perlindungan keselamatan sosial golongan berkenaan.

Timbalan Ketua Eksekutif Operasinya, Azirruan Arifin berkata, pematuhan terhadap kewajipan pendaftaran dan caruman penting bagi memastikan pekerja mendapat perlindungan sewajarnya, sekali gus membantu keluarga mereka meneruskan kehidupan sekiranya berlaku bencana pekerjaan.

“Operasi ini dilaksanakan bagi memperkukuh pematuhan undang-undang perlindungan keselamatan sosial termasuk sektor informal yang merangkumi penyedia platform kepada pekerja gig, penjaja, peniaga kecil, yang wajib mencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (LINDUNG Kendiri) bawah Akta 789,” katanya.

Menurutnya, Op Kesan 2.0 dilaksanakan di seluruh negara menerusi 54 pejabat PERKESO dengan penglibatan lebih 300 anggota penguatkuasaan.

Setakat pukul 5.30 petang, sebanyak 1,923 lawatan pemeriksaan dijalankan dengan pengeluaran 206 notis kompaun berjumlah RM216,500 berkaitan pelbagai kesalahan.

Bagi sektor gig, Azirruan berkata, penyedia platform turut bertanggungjawab memastikan pekerja e-hailing dan p-hailing didaftarkan serta caruman mereka dibayar dengan teratur.

“Bermula saja 1 Oktober, bagi mana-mana platform yang gagal dalam membuat pendaftaran dan memastikan bahawa caruman pekerja p-hailing dan e-hailing dapat dibuat dengan sewajarnya maka tindakan kompaun dan juga tindakan penguatkuasaan akan diambil,” ujarnya.

Jelasnya, tindakan itu bertujuan memastikan pematuhan terhadap Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872), dengan seramai 1.17 juta pekerja gig kini berdaftar dengan PERKESO.

Image
PERKESO OP KESAN INSERT
Majlis pelepasan pasukan penguatkuasaan PERKESO sempena Op Kesan 2.0 di ibu negara pada Selasa. - Gambar PERKESO

Pada masa sama, penguatkuasaan terhadap majikan dalam sektor formal diteruskan bagi memastikan pekerja yang layak tidak tercicir daripada perlindungan keselamatan sosial.

Mengulas cabaran pematuhan, Azirruan berkata, masih terdapat majikan yang memberikan alasan tidak mengetahui kewajipan pendaftaran dan caruman, meskipun operasi penguatkuasaan dilaksanakan setiap tahun.

Malah, pemeriksaan turut menemukan kes pekerja sendiri meminta majikan supaya tidak mendaftarkan mereka, sekali gus menunjukkan keperluan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan perlindungan berkenaan.

“Dalam usaha kita untuk mencari rezeki, jangan lupa bahawa bencana tidak pernah berbau,” katanya sambil mengingatkan pekerja supaya memahami hak mereka terhadap perlindungan keselamatan sosial.

Sehubungan itu, beliau menggesa pekerja yang tidak didaftarkan atau tidak dibayar caruman oleh majikan supaya tampil membuat aduan melalui pejabat PERKESO berdekatan atau e-mel.

Katanya, aduan itu membolehkan PERKESO menjalankan pemeriksaan premis dan mengambil tindakan susulan bagi memastikan kewajipan majikan dipenuhi.

Beliau turut memberi jaminan bahawa identiti serta maklumat pengadu akan dirahsiakan bagi melindungi mereka daripada tindakan balas majikan.

Pekerja asing juga boleh menggunakan saluran aduan sama atau menghubungi pusat panggilan PERKESO sekiranya mendapati majikan gagal mendaftarkan mereka atau membayar caruman.

Dalam pada itu, PERKESO memaklumkan usaha meningkatkan pematuhan turut dilaksanakan melalui pendidikan dan peluang pendaftaran secara sukarela menerusi Bulan Pemutihan sebelum tindakan penguatkuasaan diambil.

Inisiatif berkenaan merekodkan pendaftaran 6,586 majikan serta 281,930 pekerja baharu, terdiri daripada 247,025 pekerja tempatan dan 34,905 pekerja asing.

Image
PERKESO OP KESAN INSERT
Warga PERKESO bergambar sempena pelancaran Op Kesan 2.0 yang melibatkan lebih 300 anggota penguatkuasaan menerusi 54 pejabat di seluruh negara. - Gambar PERKESO

“Berdasarkan pelaksanaan Ops Kesan sejak 2020 sehingga September 2026, sebanyak 25,011 Notis Kompaun berjumlah RM15 juta dikeluarkan kepada majikan yang gagal mendaftar perusahaan dan pekerja, manakala 21,177 kes didakwa atas pelbagai kesalahan,” katanya.

Bagi tempoh sejak Julai tahun ini pula, sebanyak 9,809 lawatan pemeriksaan dilaksanakan dengan pengeluaran 2,457 notis kompaun berjumlah RM1.56 juta berkaitan pelbagai kesalahan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4), Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) dan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789).

Must Watch Video

Advertisement