PUTRAJAYA: Perkhidmatan awam perlu memastikan setiap perbelanjaan dilaksanakan mengikut peruntukan yang telah dibajetkan, tegas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Beliau berkata demikian susulan isu kekangan pembayaran kepada kontraktor Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), yang dikaitkan dengan perbelanjaan melebihi peruntukan tahunan bagi projek jalan luar bandar.
“Perkhidmatan awam kena berbelanja setiap mana yang dibajetkan,” katanya ringkas kepada media selepas menghadiri Majlis Perasmian Penutupan Seminar AI Sektor Awam 2026 di Putrajaya pada Khamis.
Terdahulu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican menjelaskan bahawa tiada sebarang sekatan peruntukan dibuat terhadap KKDW.
Sebaliknya, kekangan pembayaran kepada kontraktor berbangkit susulan peruntukan tahun semasa yang telah dibelanjakan hampir sepenuhnya.
Menurut Johan, sejak beberapa tahun lalu, KKDW telah membuat komitmen dan berbelanja melebihi peruntukan tahunan yang diluluskan bagi projek jalan luar bandar.
Data Perbendaharaan menunjukkan perbelanjaan sebenar bagi projek jalan luar bandar mencecah RM1.8 bilion berbanding RM1.1 bilion yang diluluskan pada 2023.
Pada 2024, perbelanjaan meningkat kepada RM2 bilion berbanding RM1.3 bilion yang diluluskan, manakala pada 2025, sebanyak RM2.3 bilion dibelanjakan berbanding peruntukan RM1.6 bilion.
Sehingga Jun 2026, sebanyak RM1.9 bilion telah dibelanjakan daripada siling tahunan RM2.1 bilion.
Susulan itu, MoF meluluskan peruntukan tambahan RM300 juta pada 2026 bagi membantu menyelesaikan tunggakan bayaran kepada kontraktor.
MoF turut memaklumkan sedang mengenal pasti penjimatan daripada kementerian lain bagi menampung keterlebihan komitmen oleh KKDW.