PUTRAJAYA: Perkhidmatan awam tidak akan terkesan dengan situasi semasa negara, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Beliau berkata penjawat awam akan terus menggalas amanah yang dipertanggungjawabkan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan berpegang teguh kepada ikrar Perkhidmatan Awam dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan negara.

"Dalam mendepani situasi semasa, saya memberi jaminan bahawa perkhidmatan awam sentiasa memberikan komitmen penuh dalam memastikan sistem penyampaian kerajaan tidak terjejas berteraskan dasar semasa kerajaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Zuki berkata perkhidmatan awam tidak akan terkesan dengan situasi semasa negara kerana kerjasama serta kesefahaman kukuh dan jitu antara setiap agensi kerajaan menjadi kunci utama kejayaan bagi setiap pelaksanaan program dan inisiatif sedia ada.

Beliau berkata urusan pentadbiran seharian akan terus diterajui oleh ketua-ketua setiausaha kementerian dan ketua-ketua jabatan persekutuan seperti biasa.

Anggota keselamatan terutama Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia pula sentiasa dalam keadaan siap siaga bagi menjaga keamanan dan ketenteraman awam, katanya.

Mohd Zuki berkata segala usaha, bantuan dan inisiatif yang melibatkan peruntukan yang besar tidak akan terjejas demi kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat terutamanya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

"Perkhidmatan awam komited mendukung konsep neutrality dan government of the day berlandaskan rule of law," katanya.

Beliau berkata jentera kerajaan sentiasa sedaya upaya melaksanakan semua dasar yang telah diputuskan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat terutama dalam tempoh yang mencabar ini.

Terdahulu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri dan peletakan jawatan 29 Menteri Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinannya.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Agong perkenan peletakan jawatan Muhyiddin, melantik beliau 'caretaker' PM

BACA: Ini curahan hati Muhyiddin, akhiri perjalanan di Perdana Putra

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataannya memaklumkan Seri Paduka berkenan Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara atau 'caretaker' sehingga Perdana Menteri baharu dilantik, selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

-- BERNAMA