KUALA LUMPUR: Operasi perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan KTM Komuter laluan Batu Caves-Pulau Sebang-Batu Caves yang terjejas akibat kerosakan alat talian atas (ATA) di KM 434.423 antara Stesen Batang Benar-Labu, kembali beroperasi mengikut jadual.
Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kerja baik pulih sistem elektrifikasi susulan kejadian yang berlaku semalam, berjaya diselesaikan sepenuhnya pada 3.56 pagi tadi.
Advertisement
“Sepanjang tempoh gangguan, KTMB mengambil langkah proaktif dan berusaha sebaik mungkin bagi memastikan keselamatan serta kebajikan penumpang sentiasa terpelihara termasuk mengurus pergerakan mereka yang terkandas dengan bas pengantara serta bantuan petugas di lapangan,” menurut kenyataan itu.
KTMB memaklumkan semua penumpang ETS serta KTM Komuter yang terjejas telah selamat tiba ke destinasi masing-masing.
KTMB turut menegaskan komitmen mereka untuk memastikan sebarang gangguan ditangani segera menerusi tindakan pemulihan pantas serta pemantauan operasi berterusan bagi meminimumkan kesan kepada pengguna.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini melalui saluran media sosial rasmi KTMB atau menghubungi Pusat Panggilan KTMB menerusi talian 03-97791200
-- BERNAMA