JOHOR BAHRU: Perkhidmatan penumpang bagi Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura dijangka bermula pada Februari 2027 dengan sasaran semua ujian sistem dan operasi percubaan selesai menjelang 31 Dis tahun ini.
RTS Operations Pte Ltd (RTSO) dalam kenyataan hari ini memaklumkan tempoh masa itu mengambil kira jangka masa bagi baki kerja dan masa diperlukan untuk pensijilan keselamatan oleh pihak ketiga serta kelulusan daripada pihak berkaitan di kedua-dua negara.
“Matlamat kami adalah untuk menyediakan perkhidmatan yang selamat dan boleh dipercayai bagi RTS Link,” menurut kenyataan itu.
RTS Link adalah projek penting antara Malaysia dan Singapura yang akan menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru dengan Woodlands North di Singapura.
Perkhidmatan itu akan mempunyai kapasiti waktu puncak sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah dengan perjalanan antara kedua-dua stesen dijangka mengambil masa kira-kira lima minit.
Kemudahan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) bersepadu di lokasi sama turut disediakan di stesen Bukit Chagar dan Woodlands North bagi membolehkan penumpang menjalani pemeriksaan imigresen di stesen berlepas.
RTSO berkata projek itu dijangka meningkatkan kesalinghubungan rentas sempadan dengan ketara serta memudahkan perjalanan harian antara Johor Bahru dan Singapura.
RTS Link juga dijangka memperkukuh hubungan antara rakyat serta menjana faedah ekonomi dan sosial bersama untuk kedua-dua negara.
Sementara itu, Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Penguasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA) dalam kenyataan media bersama memberitahu telah dimaklumkan oleh RTSO mengenai jadual baharu operasi perkhidmatan penumpang RTS Link.
“Kerja infrastruktur di Singapura dan Malaysia telah hampir siap sepenuhnya dan kekal mengikut jadual bagi menyokong perkhidmatan penumpang setelah semua aktiviti pengujian dan pentauliahan selebihnya selesai dengan memuaskan.
“Lebih banyak masa diperlukan untuk melengkapkan perkara yang masih berbaki sebelum perkhidmatan bermula. RTSO dijangka menyelesaikan ujian sistem akhir dan operasi percubaan menjelang 31 Dis 2026,” menurut kenyataan itu.
RTSO seterusnya perlu mendapatkan pensijilan keselamatan daripada penilai keselamatan bebas.
“Kelulusan kawal selia untuk memulakan operasi penumpang boleh diberikan selepas pihak berkuasa dari kedua-dua negara menyemak dan berpuas hati dengan pensijilan keselamatan bebas itu,” menurut kenyataan itu.
MOT dan LTA memaklumkan akan terus bekerjasama dengan RTSO bagi membolehkan pelaksanaan projek itu lancar dan selamat.
-- BERNAMA