KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Datuk Keramat menganjurkan dialog antara agama bersama golongan bukan Muslim bagi membicarakan sikap toleransi sempena bulan Ramadan yang lalu.

Pengerusinya, Mohamad Suhaimi Abd Aziz dalam satu kenyataan berkata, dialoq itu antara lainnya bagi mewujudkan kefahaman dan menjawab persoalan tentang bulan suci bagi umat Islam itu.

“Program yang diadakan ini antara lainnya bertujuan untuk terus memupuk semangat saling hormat menghormati antara agama selari dengan usaha kerajaan yang ingin melahirkan masyarakat Madani di negara ini.

“Alhamdulillah sesi dialoq yang diadakan turut mendapat sambutan yang mengalakkan dan berlangsung dalam suasana yang cukup damai dan muhibah tanpa sebarang provokasi.

“Selain menerangkan tentang kepenting bulan Ramadan dan keindahan Islam, kami turut menjawab banyak persoalan yang dibangkitkan oleh para peserta”, katanya lagi.

Selain Perkim Datuk Keramat, program dengan kerjasama Unity Global itu telah dihadiri hampir 40 orang peserta dari pelbagai latar belakang.

Lebih menarik selain warga tempatan program tersebut turut dihadiri oleh peserta dari Filipina dan Singapura.

Sementara itu, salah seorang peserta yang enggan dikenali ketika ditemui berkata sesi dialoq yang diadakan itu telah menjawab banyak persoalan yang selama ini bermain di fikirannya.

“Satu program dialog yang bagus kerana menekankan aspek toleransi dan sikap hormat menghormati antara satu sama lain.

“Paling utama ia turut menjawab banyak persoalan serta membuatkan saya lebih faham tentang agama ini (Islam) sekali gus menolak sebarang persektif negatif tentang orang Muslim yang cuba dicetuskan pihak tidak bertanggungjawab,” katanya lagi.