KANGAR: Kerajaan Perlis bercadang menggunakan kaedah perangkap 'Pig Brig' bagi mengatasi masalah ancaman babi hutan yang mengganggu penduduk.

Exco Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Razali Saad berkata kaedah yang diperkenalkan oleh Pegawai Penyelidik Bahagian Konservasi Ex-Situ, Ibu Pejabat Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) itu sedang dijalankan di negeri lain dan masih dalam projek rintis.

"Kerajaan negeri bercadang untuk menggunakan perangkap ini kerana sangat berkesan dan mampu menangkap babi hutan dengan kuantiti yang banyak," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Haziq Asyraf Dun (Pas-Beseri) berkenaan usaha dilakukan kerajaan Perlis bagi mengatasi masalah hidupan liar seperti kera dan babi hutan yang semakin berleluasa di seluruh negeri terutama di DUN Beseri.

Razali berkata perangkap itu menggunakan kaedah pemasangan jaring secara bentuk bulatan dengan sokongan tiang paip besi Galvanized (GI) dan garam diletakkan sebagai umpan bagi menarik perhatian babi hutan untuk masuk ke dalam perangkap.

Beliau berkata bagi mengatasi masalah kera pula, Perhilitan Perlis menggunakan kaedah pemasangan perangkap sedia ada iaitu perangkap kotak dan perangkap corong.

"Kaedah ini sangat relevan kerana mampu menangkap kera dalam kuantiti yang banyak. Pada 2021 pihak jabatan berjaya melupuskan sebanyak 2,193 ekor kera dan pada 2022 berjaya melupuskan 2,200 ekor haiwan itu," katanya.

Menurut Razali Perhilitan Perlis telah menjalankan beberapa kaedah mitigasi bagi mengatasi masalah gangguan kera dan babi hutan iaitu dengan pemasangan perangkap serta operasi bersepadu dan rondaan malam iaitu tindakan menembak mati.

--BERNAMA