Memiliki kediaman sendiri sudah menjadi antara kemestian atau cita-cita yang perlu dicapai setiap di antara kita.

Bagaimanapun, bukan mudah untuk memiliki rumah ketika ini, ditambah dengan kos sara hidup yang semakin menuntut kita supaya bekerja keras.

Sebelum memasang niat membeli rumah, beberapa perkara perlu anda pastikan terlebih dulu.

Pastikan anda mempunyai pendapatan tetap, kerana anda akan berhutang dengan bank antara 20 hingga 30 tahun.

Jika anda mempunyai pendapatan sampingan, ia mampu meringankan beban pinjaman perumahan anda.

Sebelum membuat pinjaman perumahan, elok juga kalau anda mengukur baju di badan sendiri bagi memastikan anda mampu membayar pinjaman lain seperti ansuran kereta, pinjaman peribadi dan belanja harian.

Perlu diingatkan, bank hanya menyediakan 90 peratus pinjaman dari harga rumah dan yang terbaik ialah anda mempunyai simpanan antara 20 hingga 30 peratus dari harga rumah.

Lokasi rumah baru juga penting, yang mana pilihan terbaik ialah dalam lingkungan kemudahan awam disediakan.

Bagi memastikan pembelian anda selamat, adalah bijak untuk melihat latar belakang pemaju bagi memastikan pemaju berpengalaman dan mempunyai rekod baik.

Anda juga perlu mengambil kira kos yang mengiringi pembelian rumah, antaranya pemasangan lampu dan jeriji besi.

Malah, yang paling penting, cuba untuk berbincang dengan penyedia pinjaman kewangan bagi mendapatkan kadar faedah terbaik, dan baca berulang kali semua dokumen membabitkan pembelian rumah bagi memastikan apa yang ditawarkan adalah dalam kapasiti kefahaman anda.

Jangan lupa untuk bertanya kepada mereka yang berpengalaman membeli rumah, kerana mereka mampu membantu anda.

Klik video untuk laporan penuh Astro AWANI.