KUALA LUMPUR: Kadar vaksinasi 90 peratus sebelum kebenaran merentas negeri dibenarkan diharap tidak hanya satu-satunya indikator yang akan digunakan oleh kerajaan kelak.

Menurut Pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar, penilaian itu juga seharusnya membabitkan jumlah kemasukan ke wad di hospital selain kurangnya kes yang membabitkan pesakit yang di rawat di unit rawatan rapi (ICU).

“Gabungan indikator-indikator ini dengan 90 peratus jumlah yang divaksin adalah satu pengukuran yang perlu dibuat untuk membolehkan rentas negeri itu dilakukan.

“Saya juga rasakan bukanlah sesuatu yang bijak kalau kita selama-lamanya terperangkap tanpa ada kebebasan untuk bergerak merentasi negeri," jelasnya kepada Astro AWANI.

Tambahnya kita harus menerima hakikat bahawa jangkitan COVID-19 mungkin akan terus berlaku tetapi apa yang boleh dilakukan adalah memastikan program vaksinasi berjaya dilakukan denga peratusan yang tinggi.

Jelasnya, ia mampu mengurangkan kadar kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital terutamanya membabitkan ICU.

Beliau juga turut menyokong tindakan kerajaan melakukan pendekatan ‘insentif’ dan ‘disentif’ iaitu memberikan kelebihan kepada mereka yang lengkap divaksinasi berbanding mereka yang tidak melakukannya.

“Ini bukan masalah meminggirkan sesiapa tetapi bagi yang tiada sebab mereka tidak boleh divaksinasi, mereka itu perlu memahami kekangan yang mereka terpaksa terima kalau masih lagi tidak berbuat demikian.

“Tetapi bagi mereka yang memang mempunyai masalah kesihatan, saya kira kerajaan perlu memberikan pengenalan ataupun identifikasi bahawa mereka tidak divaksinasi kerana masalah kesihatan yang dialami," jelasnya lagi.