KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia dijangka didorong permintaan luaran terutamanya eksport produk elektronik ke China dan Singapura di tengah-tengah kekurangan semikonduktor global, demikian menurut Moody's Investors Service.

Dalam nota hari ini, Moody's berkata industri minyak dan gas turut diunjurkan meningkat selepas mencatatkan harga rendah pada tahun lepas, memberikan rangsangan kepada negara sebagai pengeksport bersih minyak.

"Bagaimanapun, pemberian vaksin yang tidak sekata di peringkat domestik dan rantau ini akan mengurangkan prospek pertumbuhan dan melambatkan pemulihan industri pelancongan.

"Kadar pengangguran juga kekal tinggi pada hampir lima peratus berbanding purata tiga peratus dalam tempoh lima tahun lepas," katanya.

Moody's berkata inflasi dijangka meningkat pada tahun ini disebabkan harga minyak yang lebih tinggi dan menurutnya bank pusat masih mengekalkan ruang dasar untuk mengekalkan kadar rendah sehingga 2022.

Mengenai keputusan Bank Negara Malaysia mengekalkan kadar dasar semalaman pada 1.75 peratus ketika mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetarinya semalam, Moody's berkata ia merupakan hasil yang dijangkakan daripada mesyuarat berkenaan.

Menurutnya walaupun langkah pembendungan di peringkat domestik pada suku pertama tahun ini akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi, namun, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah ditamatkan di seluruh negara dan perbelanjaan pengguna dijangka meningkat pada masa depan.

Jumlah jangkitan kes COVID-19 turut berkurangan daripada hampir 6,000 pada Januari kepada kira-kira 2,000 pada masa ini.

Permintaan luaran bagi elektronik dan pemulihan harga minyak akan turut merangsang unjuran.

"Bagaimanapun, risiko penurunan masih wujud ekoran pemberian vaksin yang tidak sekata di peringkat domestik dan luar negara serta turun naik harga komoditi," katanya.

Malaysia mengumumkan pelaksanaan PKP di Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang ditamatkan bermula hari ini dan ditukar kepada PKP Bersyarat (PKPB), sekali gus meletakkan kebanyakan negeri di bawah PKPB selain PKP Pemulihan.

Moody's berkata secara keseluruhan empat negeri berkenaan menyumbang hampir 60 peratus daripada aktiviti ekonomi di Malaysia dan pelonggaran sekatan itu dijangka mendorong perbelanjaan pengguna dan merangsang pertumbuhan bagi suku kedua 2021.

"Perjalanan rentas daerah kini dibenarkan dan lebih banyak perniagaan akan dibenarkan beroperasi semula.

"Bagaimanapun perjalanan rentas negeri masih dilarang, mengehadkan pergerakan di Lembah Klang iaitu Kuala Lumpur dan Selangor yang mempunyai kepentingan dari segi ekonomi," katanya.

-- BERNAMA