KUALA LUMPUR: Bermula dengan memuat naik video tutorial penggayaan tudung di media sosial, seorang suri rumah tidak menyangka aktiviti sekadar suka-suka itu membuka jalan baginya membina kerjaya sebagai jurugaya tudung, sekali gus menjana pendapatan lumayan.

Mengimbau kembali awal pembabitan pada hujung 2022, Nursalihah Ahmad Azman Saha, 34, berkata dia mula menerima permintaan untuk mendandan pelanggan apabila pengikut di media sosial yakin dengan bakat dan kemahirannya yang dikongsi di platform tersebut.

"Orang mula bertanya dan meminta sekiranya saya berminat mendandan orang lain, jadi saya fikir tak salah cuba dan menggunakan bakat serta kemahiran yang ada.

Dalam percubaan pertama, saya tidak terus mendandan pengantin sebaliknya ibu kepada pengantin, kemudian saya terlibat menggayakan model untuk sesi penggambaran beberapa jenama fesyen dan kosmetik bagi mengasah lagi kemahiran," katanya kepada Bernama.

Ibu kepada sepasang cahaya mata itu kini menumpukan kepada perkhidmatan menggayakan pengantin dengan harga antara RM500 ke RM700 dan berpendapat setiap penggaya hijab perlu sentiasa peka terhadap trend terkini termasuk dari luar negara, bagi memenuhi permintaan pelanggan yang mempunyai cita rasa berbeza.

"Pelbagai gaya dan lilitan menggunakan selendang dan bawal menjadi pilihan, dan fesyen tudung Turki antara yang mendapat permintaan paling tinggi, namun saya perlu sentiasa bersedia sekiranya ada permintaan gaya yang tidak pernah dibuat," katanya yang juga menerima permintaan sehingga ke Singapura dan Brunei namun belum berpeluang dipenuhi kerana kekangan masa.

Lulusan sijil seni bina dari Politeknik Ungku Omar Ipoh itu mahu memperkenalkan lebih banyak fesyen tudung pengantin pada masa akan datang menggunakan pelbagai jenis fabrik dan tudung.

Kerjaya jurugaya tudung turut menjadi nilai tambah buat Siti Nurliyana A Rahim, 30, yang mendapat latihan tatarias dan bernaung di bawah PIZZASCARF Academy, bagi menjana pendapatan tambahan pada hujung minggu.

Penjawat awam itu berkata kebanyakan bakal ratu sehari kini mementingkan kesempurnaan penampilan bukan sahaja dari segi solekan dan pakaian, sebaliknya turut menekankan kekemasan tudung yang menjadi antara kunci utama menyuntik keyakinan diri.

Katanya, berbanding mengharapkan jurusolek yang bertanggungjawab mendandan wajah yang memakan masa lama, bantuan jurugaya tudung yang hanya menumpukan pada satu aspek sahaja, mampu menghasilkan kemasan tudung yang lebih cantik, kemas dan teliti.

"Dengan harga RM499, saya bukan sahaja memakaikan tudung tetapi juga memberi khidmat nasihat tentang kesesuaian gaya tudung dengan pengantin termasuk warna, material, fesyen pakaian, bentuk muka dan sebagainya.

"Pengantin akan dilayan seperti permaisuri pada hari bahagia mereka. Saya akan lakukan semua termasuk membasuh dan seterika, mereka hanya perlu 'menadah muka' dan tunggu disiapkan," katanya yang mengambil masa sekitar 15 ke 20 minit untuk menyiapkan pengantin.

Berpengalaman lebih tiga tahun dalam bidang tersebut, Siti Nurliyana pernah mendandan selebriti terkenal Wany Hasrita dan Sarah Suhairi selain memasang impian untuk menghias Raja Permaisuri Agong dan individu terkenal lain sekiranya diberi peluang.

Sementara itu, pengasas tudung PIZZASCARF Anis Suraya Zulkifly, 31, berkata sejak mewujudkan program konsultasi hijab pada 2018, jenama itu telah melahirkan lebih 100 penggaya menggunakan jenama tudung tersebut di seluruh negara.

Mengulas lanjut, Anis Suraya berkata ejen tudung itu yang terdiri daripada golongan profesional termasuk ahli fisioterapi dan ahli farmasi, akan diberi latihan selama dua hari dan kemudiannya kemahiran mereka dinilai menerusi hasil kerja, maklum balas pelanggan dan libat urus media sosial.

Katanya kemahiran penggaya terbahagi kepada lima peringkat berdasarkan kemahiran merias, bermula peringkat junior yang melayakkan penggaya menerima bayaran sebanyak RM99, primer (RM199), pro (RM 299), pro max (RM399) dan master (RM499).

"Dari peringkat junior ke primer misalnya, penggaya perlu menggayakan sekurang-kurangnya 15 pengantin," katanya yang mewujudkan program latihan penggayaan tudung bagi membuka ruang kepada wanita daripada pelbagai golongan menjana pendapatan.

--BERNAMA