SHAH ALAM: Permohonan Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) 3.0 bagi Kategori Tanggungan Kanak-Kanak dibuka bermula 10 pagi esok, dengan penerima yang layak bakal menerima bantuan kewangan RM300 sebulan selama 12 bulan.
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor Anfaal Saari berkata permohonan bagi kategori itu, boleh dikemukakan secara dalam talian menerusi aplikasi SELANGKAH.
“Bantuan kewangan ini boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan asas seperti makanan ruji, kelengkapan harian, serta kelengkapan persekolahan.
“Di samping itu, transaksi saluran bantuan bagi penerima kini disokong secara lebih fleksibel menerusi penggunaan MyKad (IC) di kedai-kedai rakan niaga berdaftar tertentu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Melalui pelaksanaan BINGKAS 3.0 ini, setiap penerima yang layak bakal menerima bantuan kewangan bernilai RM300 sebulan, bagi tempoh manfaat selama satu tahun.
Anfaal berkata berkata tempoh manfaat bantuan itu diselaraskan daripada 24 bulan sebelum ini kepada 12 bulan, bagi membolehkan semakan dan proses pembaharuan dilaksanakan setiap tahun, sekali gus memastikan bantuan disalurkan secara lebih bersasar.
“Bantuan ini diharapkan dapat meningkatkan daya tahan ekonomi keluarga sejajar dengan misi Negeri Penyayang dan Berdaya Huni di bawah Rancangan Selangor Kedua (RS-2),” katanya.
Antara syarat kelayakan ialah pemohon mestilah warganegara Malaysia dan pemilih berdaftar di Selangor, mempunyai pendapatan isi rumah RM5,000 dan ke bawah, menanggung sekurang-kurangnya dua anak berusia bawah 18 tahun serta tidak pernah menerima Bantuan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS).
Maklumat lanjut mengenai syarat kelayakan dan permohonan boleh diperoleh menerusi laman web rasmi BINGKAS di https://bingkasselangor.com/Syarat-syarat.
-- BERNAMA