Skip to main content

Malaysia

Permohonan kewarganegaraan dipertimbang ikut lunas undang-undang

51701228020_TBNASARAH.jpg
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata kehilangan ibu juga tidak menyebabkan seseorang hilang peluang untuk mengemukakan permohonan kewarganegaraan. - Gambar fail/BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Peluang memperoleh kewarganegaraan bagi individu yang berdepan isu dokumentasi, termasuk kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara kepada ibu warganegara Malaysia, terus dipertimbangkan mengikut fakta setiap kes serta peruntukan undang-undang.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata kehilangan ibu juga tidak menyebabkan seseorang hilang peluang untuk mengemukakan permohonan kewarganegaraan.

“Setiap pemohon perlu melalui proses penelitian yang menyeluruh termasuk semakan latar belakang, pemeriksaan dokumen dan tapisan keselamatan yang teliti bagi memastikan hanya individu yang benar-benar layak dipertimbangkan, di samping memelihara kedaulatan negara.

“Permohonan kewarganegaraan akan dinilai berasaskan fakta kes, dokumen sokongan serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Laporan Tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) 2024 bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata individu berusia lebih 21 tahun yang tidak pernah mengemukakan permohonan kewarganegaraan sebelum ini masih mempunyai laluan untuk memohon melalui kaedah naturalisasi di bawah Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, Shamsul Anuar berkata ia tertakluk kepada syarat yang ditetapkan termasuk memiliki taraf pemastautin tetap, memenuhi tempoh pemastautin, berkelakuan baik dan mempunyai pengetahuan bahasa Melayu.

Dalam pada itu, beliau berkata KDN menetapkan sasaran memproses permohonan kewarganegaraan yang lengkap dalam tempoh setahun dan pematuhan terhadap sasaran itu dipantau secara berterusan.

“KDN sentiasa melaksanakan penambahbaikan secara berterusan, bagi meminimumkan kelewatan, dan tanpa menjejaskan ketelitian proses semakan dan kepentingan keselamatan serta kedaulatan negara,” katanya.

Bagi mempercepat penyelesaian isu dokumentasi terutama di Sabah dan Sarawak, Shamsul Anuar berkata Pasukan Petugas Khas (PPK) ditubuhkan melibatkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Premier Sarawak.

Melalui operasi di lapangan, katanya, PPK membantu menyelesaikan isu dokumentasi termasuk daftar kelahiran dan pengeluaran dokumen pengenalan diri kepada individu yang layak.

Selain itu, Shamsul Anuar berkata Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan Peringkat Negeri Sarawak serta Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) turut membawa perkhidmatan pendaftaran terus ke kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan Peringkat Negeri Sarawak berperanan meneliti permohonan kewarganegaraan, khususnya di bawah Perkara 15E Perlembagaan Persekutuan, sekali gus mempercepatkan pertimbangan permohonan kewarganegaraan yang melibatkan kes-kes khas, termasuk permohonan kanak-kanak yang memerlukan pertimbangan khas oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Luar Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata Malaysia akan terus menggunakan platform ASEAN serta memperkukuh kerjasama dengan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dalam aspek perlindungan dan bantuan kepada pelarian Rohingya di negara ini.

Ketika menggulung perbahasan usul itu bagi Kementerian Luar, beliau berkata krisis pelarian serta pemohon suaka, termasuk etnik Rohingya memberi kesan rentas sempadan seperti migrasi tidak teratur, pemerdagangan orang dan cabaran keselamatan.

“Malaysia juga kekal menyokong pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) sebagai kerangka utama ASEAN dalam menangani krisis di Myanmar, di samping mengiktiraf penyelesaian yang berkekalan memerlukan sokongan dan penglibatan masyarakat antarabangsa yang lebih luas,” katanya.

Beliau berkata Malaysia akan terus membangkitkan kepentingan perkongsian tanggungjawab antarabangsa, termasuk keperluan untuk meningkatkan peluang penempatan semula pelarian ke negara ketiga.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement