Perodua memulakan 2015 dengan memberikan model Myvi mereka nafas baharu yang merangkumi perubahan menyeluruh kepada model paling popular ini.
Untuk luaran, tambah baik termasuk penggunaan lampu projektor, spoiler belakang rekaan baharu, rekaan aloi terkini, pembuka pintu krom, ‘moulding sisi’ dengan kemasan krom, lampu belakang LED serta juga bampar baharu untuk bahagian depan dan belakang. Bahagian belakang turut menampilkan ‘diffuser’.
Seperti yang dikatakan sebelum ini, kombinasi enjin (pilihan 1.3 liter ataupun 1.5 liter) dan transmisi manual 5-kelajuan ataupun automatik 4-kelajuan masih lagi dikekalkan. Varian pula terbahagi kepada Standard G dan Premium-X (untuk Myvi 1.3 liter; dan SE serta Advance untuk Myvi 1.5 liter. Keperluan untuk mendapatkan penggunaan bahan api optima dibantu oleh stereng elektrik.
Terdapat juga sedikit kelainan dari segi saiz diantara kedua-dua varian: walapun lebar dan tinggi Myvi 1.3L dan 1.5L adalah serupa pada 1665mm dan 1570mm masing-masing, risalah jualan ada menyatakan bahawa kereta 1.3L adalah panjang sedikit berbanding versi 1.5 liter (3695mm dan 3685mm).
Namun begitu, saiz bahagian dalam kekal serupa iaitu 1850/1380/1265 untuk ukuran-ukuran panjang, lebar dan tinggi kabin.
Berkenaan kabinnya lagi, kerusi-kerusi di dalam semua varian adalah dibalut dengan fabrik (kualiti berbeza diantara 1.3L dengan 1.5L), kecuali 1.5L Advance yang dibalut dengan kulit. Kedua-dua versi 1.5 liter juga dilengkapi kerusi hadapan jenis semi-bucket yang lebih kemas memegang pemandu.
Untuk sistem audio, varian Standard G dilengkapi pemain CD asas; manakala varian paling mewah iaitu 1.5L Advance menampilkan pemain multimedia lengkap dengan navigasi GPS serta kamera undur. Varian-varian lain diantara kedua-dua ini pula dipasang pemain CD/MP3 dengan slot USB dan sambungan Bluetooth.
Kesemua jenis Perodua Myvi 2015 datang dengan sepasang beg udara dan cangkuk untuk menggantung beg tangan (yang pertama kali digunakan pada model Axia). Semua varian juga mendapat sistem brek ABS (dan EBD dan Brake Assist) kecuali 1.3L Standard G.
Kereta ini juga ditambah dengan sensor hadapan yang boleh diaktifkan oleh pemandu apabila perlu, terutamanya bila memasuki kotak parkir.
ASEAN NCAP juga telah mengesahkan bahawa Myvi ‘facelift’ sekarang diiktiraf dengan 4-bintang untuk ciri-ciri keselamatannya.
Mengikut Perodua sendiri, langkah-langkah tambah baik yang diberikan kepada Myvi baharu ini mempunyai nilai sebanyak RM4,500.
Harga untuk Perodua Myvi adalah seperti di bawah:
(klik untuk imej besar)