Skip to main content

Malaysia

Persatuan bola sepak Nordik desak EU bertindak susulan kebimbangan tadbir urus FIFA - Laporan

Sumber: REUTERS
Pegawai negara-negara Nordik mahukan pertemuan dengan Glenn Micallef (gambar) untuk menyuarakan kebimbangan mereka mengenai tadbir urus, ketelusan dan proses membuat keputusan FIFA di bawah kepimpinan Infantino. REUTERS
Advertisement

ISTANBUL: Persatuan bola sepak Denmark, Finland dan Sweden meminta Suruhanjaya Eropah mengambil tindakan berhubung kebimbangan  , lapor Anadolu Ajansi memetik akhbar sukan Perancis L'Equipe.

L'Equipe pada Rabu melaporkan Presiden Persatuan Bola Sepak Finland Ari Lahti, Presiden Persatuan Bola Sepak Denmark Jesper Moller dan Presiden Persatuan Bola Sepak Sweden Simon Astrom menerusi sepucuk surat meminta pertemuan dengan Pesuruhjaya Kesatuan Eropah (EU) bagi Sukan Glenn Micallef di Brussels.

Pegawai berkenaan berkata perkembangan terkini dalam FIFA menimbulkan “kebimbangan serius”, khususnya berhubung cadangan projek FIFA Forward Enterprise.

Rancangan yang kini telah dibatalkan itu bertujuan mewujudkan entiti komersial baharu FIFA dan membolehkan pelabur swasta memperoleh pegangan minoriti.

Pegawai negara-negara Nordik itu berkata kemungkinan pelaburan swasta dalam pertandingan dan operasi komersial FIFA, ditambah dengan kekurangan ketelusan, perundingan dan akauntabiliti demokratik, menimbulkan persoalan asas mengenai pihak yang akan mengawal masa depan bola sepak dunia.

Walaupun FIFA telah menarik balik cadangan berkenaan, mereka berkata kebimbangan yang timbul daripada rancangan itu masih belum diselesaikan.

Mereka berpandangan institusi Eropah, Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) dan persatuan bola sepak kebangsaan mempunyai kepentingan bersama untuk melindungi model bola sepak yang berteraskan keterbukaan, penyertaan demokratik, merit sukan dan solidariti.

Surat itu turut merujuk kepada bantahan bersama terhadap cadangan Liga Super Eropah pada 2021 sebagai contoh kerjasama antara badan bola sepak dan pembuat dasar Eropah dalam mempertahankan prinsip berkenaan.

“Bersama-sama kita mesti memastikan jiwa bola sepak tidak lagi dijual,” menurut surat itu.

Infantino berdepan tekanan yang semakin meningkat sejak memperkenalkan cadangan FIFA Forward Enterprise pada awal musim panas tahun ini untuk menjual pegangan dalam operasi komersial FIFA kepada pelabur swasta.

Rancangan itu dibatalkan susulan bantahan meluas, namun beberapa persatuan kebangsaan dan badan pentadbir benua terus mempersoalkan kepimpinan Infantino serta proses di sebalik projek berkenaan.

UEFA, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Konfederasi Bola Sepak Amerika Utara, Tengah dan Caribbean (CONCACAF) mengeluarkan surat bersama yang menuduh Infantino menjejaskan kepercayaan “melalui penipuan” serta menuntut semakan bebas sepenuhnya terhadap cadangan yang telah dibatalkan itu.

Kesemua enam anggota FIFA dari negara Nordik iaitu Denmark, Finland, Iceland, Norway, Sweden dan Kepulauan Faroe kemudiannya menyatakan mereka hilang keyakinan terhadap Infantino serta tadbir urus FIFA.

Mereka turut menggesa siasatan bebas terhadap cadangan FIFA Forward Enterprise dan semakan menyeluruh terhadap kerangka tadbir urus FIFA.

Infantino yang menerajui FIFA sejak 2016 kini berusaha mendapatkan penggal keempat dalam pemilihan FIFA tahun depan, yang akan membolehkannya kekal memegang jawatan sehingga 2031.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement