NATIONAL
Persatuan doktor perkenal caj tambahan dianggap pelanggaran serius Akta Persaingan 2010 - MyCC

Idrus menegaskan di bawah Seksyen 4(2)(a) akta tersebut, doktor atau pengamal perubatan am swasta diklasifikasikan sebagai perusahaan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Sebarang keputusan yang dibuat penyedia perkhidmatan perubatan swasta termasuk persatuan yang mewakili doktor atau pengamal perubatan am swasta (GP) untuk memperkenalkan caj tambahan boleh dianggap sebagai melanggar Akta Persaingan 2010 (Akta 712).
Ringkasan AI
- Larangan terhadap penetapan caj secara kolektif: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) menegaskan bahawa sebarang keputusan persatuan doktor swasta untuk menetapkan caj tambahan boleh melanggar Akta Persaingan 2010, kerana ia dikategorikan sebagai aktiviti kartel yang bersifat anti-persaingan.
- Amaran kepada persatuan perubatan: MyCC mengingatkan tiga persatuan perubatan swasta agar tidak memperkenalkan caj baharu secara kolektif, termasuk caj preskripsi dan yuran pendaftaran, bagi mengelakkan pelanggaran undang-undang persaingan.
- Tindakan penguatkuasaan MyCC: Pengerusi MyCC, Tan Sri Idrus Harun, menegaskan bahawa suruhanjaya tidak akan teragak-agak untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam amalan anti-persaingan.
"Tingkah laku sebegini dikategorikan sebagai pelanggaran yang serius yang lazimnya dirujuk sebagai aktiviti kartel dan adalah salah tanpa mengira sama ada perkara ini telah dilaksanakan atau hanya dipersetujui," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.
Mengulas lanjut Idrus berkata, apabila mana-mana persatuan atau pertubuhan bersetuju secara kolektif untuk memperkenalkan caj baharu, tindakan itu boleh ditafsir sebagai satu perjanjian menetapkan syarat dagangan.
"Malah, sebarang cadangan harga sama ada mengikat atau tidak, boleh dianggap sebagai penetapan harga di bawah Seksyen 4 Akta 712,” katanya.
Sehubungan itu, tiga persatuan iaitu Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Sarawak (SPMPS), Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Selangor dan Kuala Lumpur (PMPASKL) serta Persatuan Pengamal Perubatan Pulau Pinang (PMPS) diingatkan agar tidak melanggar peruntukan undang-undang berkenaan.
Serentak dengan itu beliau turut menggesa SPMPS untuk menarik balik nasihat yang dikeluarkan kepada ahlinya yang menggalakkan pelaksanaan caj-caj baharu.
"KIta juga menyeru persatuan PMPASKL dan PMPS untuk tidak mengadakan mesyuarat atau mengambil sebarang langkah yang boleh membawa kepada keputusan kolektif untuk menetapkan caj atau memperkenalkan yuran secara seragam," tambahnya.
Kata beliau, MyCC tidak akan teragak-agak untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam tingkah laku anti-persaingan.
Baru-baru ini, persatuan-persatuan berkenaan mencadangkan untuk memperkenalkan caj baharu dalam perkhidmatan yang merangkumi caj preskripsi, yuran pendaftaran, caj pematuhan peraturan dan yuran kemudahan sama ada yang sudah dilaksanakan atau masih sedang dipertimbangkan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami