KUALA LUMPUR : Hospital Sibu, Sarawak bakal menerima modular Unit Kawalan Rapi (ICU) dari Hospital Selayang, Kuala Lumpur yang dijadualkan tiba pada Isnin ini.

Menurut Penasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, fasiliti tersebut dilihat dapat membantu negeri itu berdepan dengan sebarang kemungkinan peningkatan kes COVID-19.

"Pemberian fasiliti itu merupakan pemberian daripada Kerajaan Persekutuan melalui Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah," kata beliau.

Ujarnya, meskipun tiada penemuan varian baharu selain daripada varian delta, langkah ini diambil sebagai persiapan rapi dari segi fasiliti perubatan dan hospital sekiranya berdepan dengan ancaman varian lain pada masa akan datang.

Malah kata beliau, persediaan ini penting sebelum negara boleh beralih ke fasa endemik.


 
Sumber Facebook dr.sim.kui.hian

Terdahulu, Dr Sim juga berkesempatan membuat lawatan kerja ke Hospital Sibu bagi memeriksa kelangsungan Hospital Medan yang ditubuhkan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di daerah itu.