Kerajaan Selangor tidak melihat isu persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai soal pihak mana yang akan menang atau kalah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) nanti.

Sebaliknya, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, isu ini lebih kepada sama ada cadangan persempadanan tersebut dibuat berdasarkan prinsip yang adil bagi rakyat.

"Banyak reaksi telah diberikan terhadap cadangan persempadanan yang dilakukan oleh SPR.

"Sebagai kerjaan negeri, kami mempunyai hak untuk membantah, baik di peringkat negeri dan juga peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)," kata Azmin.

Malah, tambah Azmin, pengundi sendiri punyai hak untuk membantah sekiranya mereka merasakan persempadanan yang dibuat tidak adil bagi mereka.

Kata Azmin lagi, beliau akan bertemu dengan peguam pada petang Isnin untuk melihat kewajaran mengambil tindakan undang-undang terhadap SPR.

Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Penjawat Awam di Auditorium Dewan Jubli Perak di Shah Alam pada Isnin.

Selain itu, beliau juga merasmikan penyerahan bendera Kontijen Sukan Setiausaha Kerjaan Negeri (SUK) Selangor bagi Sukan SUK Se-Malaysia yang akan berlangsung dari 21 hingga 25 September tahun ini di Johor.