Skip to main content

Malaysia

Persiapan Majlis Pembukaan DUN Negeri Sembilan esok berjalan lancar

SEREMBAN, 24 April -- Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan bertitah pada Perasmian Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-15 hari ini.  --fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
Tuanku Muhriz dijadual menyampaikan titah diraja bersempena dengan pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat pada 10 pagi. - Gambar fail/Bernama

SEREMBAN: Persiapan majlis perasmian pembukaan Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan ke-15 esok berjalan lancar, yang akan menyaksikan keberangkatan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Zafir Ibrahim berkata Tuanku Muhriz dijadual menyampaikan titah diraja bersempena dengan pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat pada 10 pagi.

Advertisement

Beliau berkata turut berangkat ke majlis itu ialah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud. 

“Majlis perasmian dan persidangan DUN berjalan seperti biasa,” katanya kepada pemberita di Wisma Negeri di sini hari ini.

Selepas majlis perasmian itu, persidangan DUN bersambung pada 27 hingga 29 April ini.

Sebelum majlis perasmian bermula, Tuanku Muhriz dijadualkan menerima tabik hormat diraja dan memeriksa kawalan kehormatan yang akan diketuai oleh tiga pegawai serta 103 anggota Batalion ke-14 Rejimen Askar Melayu Diraja dari Kem Syed Sirajuddin.

Secara lazimnya, majlis turut dihadiri Tunku Besar Tampin dan Undang yang empat namun susulan kemelut yang berlaku baru-baru ini, kehadiran mereka mencetuskan tanda tanya.

Sebelum ini, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun memaklumkan bahawa tindakan Datuk Mubarak Dohak yang menandatangani serta membacakan pengisytiharan menurunkan Tuanku Muhriz di Balai Undang Luak Sungai Ujong tidak boleh diterima atau diiktiraf.

Aminuddin berkata ini kerana Mubarak tidak lagi mempunyai kuasa dan fungsi sebagai Undang Luak Sungei Ujong, selain tidak selaras dengan Perkara 10 hingga 12 Undang Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

-- BERNAMA

Must Watch Video