KUALA LUMPUR: Persiapan bagi penganjuran Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 yang dijadualkan pada 27 Mei depan di Kuching, Sarawak, sedang giat dijalankan.

Mesyuarat penyelarasan diadakan hari ini oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) selaku sekretariat HAWANA 2024 dengan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di Wisma Bernama, di sini.

Turut hadir Ketua Pengarang Bernama Nur-ul Afida Kamaludin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2024 dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Arul Rajoo Durar Raj merangkap Pengarah Projek HAWANA 2024.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita Ekonomi) Nasriah Darus yang juga Ketua Jawatankuasa Media, Publisiti dan Promosi HAWANA 2024 serta Pengarah UKAS Samuel Simon.

Simon ketika ditemui selepas mesyuarat berkenaan berkata sehari sebelum itu (26 Mei), satu persidangan berkaitan media akan diadakan antara lain membincangkan tentang penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pelaporan berita.

"Persidangan itu akan memberi fokus terhadap penggunaan AI dalam kalangan media dan kami (UKAS) menerusi Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) juga akan menjemput beberapa penceramah dari London dan Singapura untuk bercakap tentang pelbagai perkara berkaitan media," katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Bernama atas usaha menjayakan HAWANA 2024.

Pada 4 Jan lepas, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata Sarawak akan menjadi tuan rumah kepada sambutan HAWANA 2024, yang akan dimeriahkan dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata Bernama akan terus memainkan peranan sebagai urus setia bagi penganjuran sambutan berkenaan.

HAWANA dianjurkan pertama kali di sini pada 2018, disusuli Melaka pada 2022 dan tahun lepas di Perak merupakan platform untuk pengamal media berkumpul dan membincangkan isu-isu semasa yang dihadapi industri.

-- BERNAMA