Sepanjang 12 hari berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-11 kali ini, terpampang di dada-dada akhbar mahupun media massa, ada sahaja isu berkaitan sentimen pengundi Cina dijadikan santapan untuk pembaca.

Apa tidaknya, undi mereka nanti akan menentukan kemenangan di kerusi-kerusi bandar di Sarawak yang lazimnya didominasi pengundi Cina.

Lebih-lebih lagi apabila Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem meletakkan sasaran untuk menang 70 daripada 82 kerusi, pastinya Barisan Nasional (BN), sedang mengintai kerusi-kerusi majoriti Cina yang kini dipegang pembangkang DAP.

Seolah-olah satu "crusade" (perang) bagi mengembalikan sokongan Cina, Adenan seperti memujuk pengundi Cina dengan membayangkan masa depan Sarawak yang lebih cerah apatah lagi ia turut dipimpin oleh Timbalan Ketua Menteri dari kaum Cina.

Bagi kaum Cina di Sibu, yang rata-ratanya berketurunan Foochow, yang dikenali dengan semangat kental dan rajin bekerja, GST atau tidak, kehidupan mesti diteruskan.- Foto Astro AWANI
Namun persoalan sejauh manakah, pengundi Cina yang selama ini dilihat sebagai mesra-pembangkang melembutkan hati mereka kepada bisikan Adenan?

Kedua parti kerajaan dan pembangkang sebenarnya masih cuba memahami fikiran minda golongan pengundi ini hingga ke detik terakhir malam mengundi.

Cina kaya vs Cina kelas pertengahan

Sibu dikatakan antara kawasan yang mempunyai golongan kaum Cina terkaya dengan enam syarikat konglomerat besar termasuk KTS, Rimbunan Hijau (RH) dan Ta Ann diasaskan oleh ahli-ahli peniagaan anak tempatan.

Malah beberapa calon bertanding BN di kawasan Sibu dikatakan mempunyai hubungan dengan syarikat-syarikat hartawan itu.

Calon langsung BN, Dudong, Datuk Tiong Thai King, umpamanya merupakan adik kepada pengerusi kumpulan syarikat RH, Tan Sri Tiong Hiew King yang pernah tersenarai sebagai antara 10 orang terkaya di Malaysia.

Manakala calon langsung BN di Pelawan, Datuk Janet Lau pula adalah balu kepada bekas Timbalan Menteri Pengangkutan Negeri, Datuk Robert Lau yang merupakan bapa saudara kepada Ketua Eksekutif Kumpulan KTS, Datuk Henry Lau.

KTS adalah sebuah syarikat yang menjalankan aktiviti pembalakan di Sarawak.

Datuk Janet Lau adalah balu kepada bekas Timbalan Menteri Pengangkutan Negeri, Datuk Robert Lau yang merupakan bapa saudara kepada Ketua Eksekutif Kumpulan KTS, Datuk Henry Lau. - Foto Astro AWANI / Tan Su Lin
Bagi golongan kelas atasan Cina iaitu hartawan atau "taikun" berjaya, pastinya berharap hubungan baik dengan Kerajaan khususnya di bawah kepimpinan Adenan dapat memudahkan urusan perniagaan di Bumi Kenyalang ini.

Namun tidak semua pengundi Cina di Sibu adalah kaya-raya.

Peniaga-peniaga Cina yang menjual juadah mee Kampua di gerai makanan, umpamanya terpaksa bekerja dari subuh hingga malam bagi menyara keluarga mereka.

Bagi golongan ini, mereka tidak pernah merasai nikmat kekayaan seperti mana enam hartawan di Sibu.

Ketidakseimbangan kekayaan

Sentimen itu juga menyebabkan ramai pengundi Cina kelas pertengahan di bandar merasakan bahawa wujud jurang antara pemimpin Cina khususnya dari calon langsung BN.

Bagi mereka, sudah pasti calon pemimpin daripada keluarga berada ini tidak mungkin memahami kesusahan masyarakat Cina bandar di mana isu seperti ekonomi dan kos sara hidup yang mempengaruhi mereka.

Kesan daripada pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), umpamanya menyebabkan ramai peniaga Cina terpaksa menambah perbelanjaan bagi menampung kos tambahan.

Namun bagi Cina di Sibu yang rata-ratanya berketurunan Foochow, yang dikenali dengan semangat kental dan rajin bekerja, GST atau tidak, kehidupan mesti diteruskan.

Keutamaan mereka adalah mencari wang, demi memastikan pendidikan anak-anak mereka dijamin.

Itu sebabnya ramai golongan Cina di Sibu, termasuklah penjual mee Kampua akan menghantar anak-anak mereka ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran biarpun daripada keluarga sederhana.

Bagi mereka, alternatif terbaik bagi menyuarakan rasa tidak puas hati mereka adalah dengan memangkah parti pembangkang.

SUPP vs UPP, bukan BN vs DAP

Menariknya, biarpun kerusi-kerusi di Sibu disifatkan sebagai kubu kuat parti pembangkang DAP, hakikatnya, Sibu pernah menjadi kubu BN di bawah kuasa Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP).

Namun disebabkan konflik berlarutan antara dua kem dalam parti berkenaan menyebabkan beberapa Adun keluar daripada SUPP pada 2014 bagi membentuk parti serpihan baharu, Parti Rakyat Bersatu (UPP).

Presiden UPP, Datuk Seri Wong Soon Koh kini bertanding di kerusi DUN Bawang Assan sebagai calon langsung BN.

Pada PRN lalu, beliau menang di kerusi berkenaan selepas bertanding atas tiket SUPP.

Persengketaan antara kedua parti masih ketara apabila, Wong sebelum ini mendakwa bahawa wujud unsur sabotaj di mana penyokong SUPP cuba menghasut pengundi di Bawang Assan agar tidak mengundi Wong, sebaliknya memangkah calon parti DAP, Stanley Chiew.

Malah di semua kerusi tradisi SUPP di Sibu kini ditandingi calon langsung BN dari UPP, iaitu Datuk Tiong Thai King di Dudong dan Datuk Janet Lau di Pelawan.

Hanya satu kerusi ditandingi calon SUPP, iaitu Chieng Buong Toon di Bukit Assek.

Perpecahan dalam parti yang sepatutnya mewakili suara kaum Tionghua ini sebenarnya amat tidak disenangi masyarakat Cina.

Namun melihat setelah dua penggal, di bawah pentadbiran DAP, pengundi Cina mula menilai prestasi parti pembangkang di kawasan mereka.

Justeru pilihan yang sedia ada, kekalkan pembangkang atau pulang ke pangkuan BN?

Pastinya, pengundi Cina kini berada di persimpangan jalan untuk memilih sama ada masih mahu kekal dalam "political wilderness" atau turut sama dalam pembangunan Sarawak.

Manalah tahu, "keajaiban boleh berlaku."


*Tan Su Lin adalah wartawan Astro AWANI yang kini dalam tugasan membuat liputan PRN Sarawak.

*Untuk liputan menyeluruh Sarawak Memilih, ikuti kami di saluran berita segenap dimensi 501 Astro AWANI atau layari sahaja astroawani.com