KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'Ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat tiba di London hari ini bagi Lawatan Khas ke London, United Kingdom (UK).

Pesawat khas yang membawa Seri Paduka Baginda berdua dan delegasi mendarat di Lapangan Terbang Luton, London pada pukul 9.30 malam waktu tempatan.

Istana Negara dalam kenyataan memaklumkan keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh wakil Istana Buckingham Deputy Lord Lieutenant Elizabeth Slack.

Selain itu, hadir sama Wakil Khas Setiausaha Luar Negara, David Gordon-MacLeod dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK, Datuk Zakri Jaafar.

Lawatan Khas Seri Paduka Baginda berdua ke London itu adalah atas persilaan Raja Charles III bagi menghadiri Istiadat Pertabalan Baginda sebagai Pemerintah UK di Westminster Abbey pada Sabtu ini.

Seri Paduka Baginda berdua turut dijadualkan menghadiri Majlis Resepsi dihoskan oleh Baginda Raja Charles III di Istana Buckingham, London pada Jumaat.

Kali terakhir Seri Paduka Baginda berdua berkenan berangkat ke Istana Buckingham ialah pada 12 Oktober 2022 sempena kunjungan hormat ke atas Raja Charles III.

Kunjungan hormat tersebut bersempena lawatan khas Seri Paduka berdua ke London dari 10 hingga 16 Oktober 2022.