Kerajaan diminta mempertimbang cadangan menubuhkan Mahkamah Khas Siber bagi mempercepatkan perbicaraan dan pendakwaan penjenayah siber terutamanya berhubung kes pornografi kanak-kanak.

Menurut Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, ini mampu mengukuhkan lagi usaha melindungi kanak-kanak daripada penderaan seksual.

Beliau bersetuju sudah tiba masanya kerajaan bertindak lebih agresif dan lebih berkesan terhadap mereka yang terlibat di dalam aktiviti pedofilia.

"Saya melihat ada rasional untuk mengkaji semula undang-undang siber sedia ada bagi menangani sebarang kelemahan, menambah baik dan mengetatkan undang-undang tersebut supaya ia releven dalam halang aktiviti pedofilia," kata Lee dalam satu temu bual bersama Astro AWANI.

BACA: Kes Richard Huckle: Polis minta mangsa tampil beri maklumat

BACA: Cadangan wujud daftar pelaku jenayah seksual



BACA: Pedofil di Telegram: SKMM jalankan siasatan bersama jawatankuasa khas

Mengulas cadangan menubuhkan Mahkamah Khas Siber, katanya hakim yang ditugaskan perlu berpengalaman di dalam bidang siber dan mempunyai kepakaran mengadili kes berkaitan.

"Walaupun ketika ini wujudnya undang-undang yang berkaitan kes siber seperti Akta Jenayah Komputer 1997, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Tandatangan Digital 1997, Akta Perdagangan Elektronik 2006, saya melihat ada keperluan undang-undang khas jenayah siber terhadap kanak-kanak.

"Adakan satu undang-undang yang menumpu kepada jenayah pedofilia memandangkan jenayah ini semakin meningkat dan sesuatu yang amat membimbangkan," kata Lee.

BACA: Pendedahan Syed Azmi mengenai mangsa pedofilia amat mengejutkan

BACA: Perkongsian mangsa pedofilia di Facebook Syed Azmi tidak tamat semalam

Selain itu, beliau menggalakkan supaya diwujudkan kempen kesedaran kepada kanak-kanak di peringkat prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah serta institusi pengajian tinggi dalam mendedahkan aktiviti pedofilia.

Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) bercadang mewujudkan akta baharu di negara ini bagi memastikan pesalah pedofilia menerima hukuman sewajarnya.