Kalau sebut sahaja bulatan (roundabout) yang paling kecil di Malaysia, pasti semua orang akan terus menyebut “Jalan 222, Petaling Jaya!”. Sesiapa yang pernah tengok bulatan tu pasti akan setuju; bahkan mungkin ada yang pernah lalu di situ dan tak pernah sangka ada roundabout di situ.

Sekarang, Petaling Jaya juga akan mendapat penghormatan menjadi lokasi bulatan yang paling besar di negara ini. Pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya baharu sahaja menunjukkan pelan baru untuk sistem trafik sehala yang melibatkan Jalan Sultan, Jalan Barat, Jalan Utara, Jalan Timur dan Jalan Yong Shook Lin. Ia akan berkuatuasa mulai 12 Oktober 2014 (Ahad), dan akan berterusan selama tempoh percubaan 3 bulan (sehingga 12 Januari 2015).

Langkah ini sebenarnya telah lama di dalam perancangan dalam usaha untuk mengurangkan kesesakan di kawasan yang mempunyai jumlah lalulintas yang tinggi ini. Ia disukarkan lagi dengan ketiadaan tanah untuk apa-apa pembesaran jalan.

Jumlah yang telah dibelanjakan untuk projek ini, termasuk kos penurapan, penyediaan laluan pejalan kaki, laluan basikal, pemasangan lampu jalan, serta penanaman sehingga 4970 batang pokok-pokok (dan kos-kos lain) adalah RM23.8 juta.

Melihat kepada peta di bawah, mungkin ia bukanlah suatu perubahan yang besar ataupun menyusahkan. Cuma antara laluan yang perlu dibiasakan adalah pemandu tidak dapat membelok ke kanan daripada Seksyen 14 menghala ke arah Hotel Armada/Hilton; dan juga perubahan arah trafik di hadapan pejabat pos.

Diharap pengguna jalan raya akan dapat menyesuaikan diri dengan arah lalulintas yang baru ini, dan pihak polis trafik juga harus bersedia untuk menyuraikan apa-apa masalah trafik yang mungkin berlaku.

(klik untuk imej besar)