PETALING JAYA: Perubahan iklim bukan lagi isu alam sekitar sebaliknya merupakan cabaran pembangunan pada masa kini, kata Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Datuk Dr Ismail Parlan.
Bercakap pada Persidangan Perubahan Iklim dan Kelestarian 2026 (CCSC 2026), beliau berkata Malaysia telah mengalami kesan perubahan iklim melalui hujan ekstrem, musim kemarau berpanjangan, hakisan pantai dan kehilangan biodiversiti yang menekankan keperluan mendesak untuk tindakan bersepadu serta kolektif.
Advertisement
Beliau berkata tanah sebagai asas ekosistem, sistem makanan dan mata pencarian, sedang menghadapi tekanan yang tidak pernah terjadi sebelum ini akibat perubahan iklim, kemerosotan tanah, kehilangan biodiversiti serta pembangunan tidak lestari, menjadikan landskap berdaya tahan dan pengurusan tanah lestari lebih kritikal pada masa kini.
“Untuk mencapai daya tahan sebenar dan mengintegrasikan pengurusan tanah, pemuliharaan biodiversiti, serta tindakan iklim memerlukan pendekatan whole-of-government dan whole-of-society.
“Itulah sebabnya CCSC 2026 berfungsi sebagai platform yang tidak ternilai untuk pertukaran pengetahuan, perkongsian pengalaman dan meneroka penyelesaian praktikal bagi memperkukuh daya tahan iklim dan kelestarian,” katanya.
Ismail berkata pelancaran Dasar Pasaran Karbon Negara pada persidangan itu menandakan pencapaian penting peralihan Malaysia ke arah ekonomi rendah karbon dan berdaya tahan iklim sambil memperkukuh tadbir urus pasaran karbon nasional serta membuka peluang baharu kepada pertumbuhan lestari dan mitigasi iklim.
CCSC 2026 menurut Ismail dianjurkan menggunakan pendekatan rendah karbon, yang mencerminkan komitmen terhadap kelestarian.
Ini termasuk menggalakkan peserta menggunakan pengangkutan awam dan berkongsi kereta, menyediakan stesen isian semula air untuk meminimumkan pembaziran air serta melaksanakan sebahagian besar persidangan secara tanpa kertas menerusi akses digital kepada bahan dan maklumat terkini program.
Ismail berkata langkah itu walaupun ringkas, mencerminkan komitmen bersama-sama terhadap kelestarian dan menunjukkan tindakan iklim yang bermakna boleh diterapkan dalam penganjuran acara utama.
Persidangan anjuran FRIM itu dirasmikan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup dan menghimpunkan 300 peserta terdiri daripada penggubal dasar, penyelidik, pemain industri dan rakan strategik untuk membincangkan cabaran iklim semasa dan memajukan penyelesaian ke arah masa depan sifar bersih.
-- BERNAMA