PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta pihak pembangkang agar tidak sombong mengenai rundingan isu peruntukan Ahli Parlimen pembangkang.

Ujarnya, pihak pembangkang perlu berbincang dengan baik bersama pihak kerajaan berhubung permohonan peruntukan kepada wakil rakyat mereka.

"Jawapan saya, bincang dengan baik. Jangan sombong," jelas Anwar secara ringkas ketika ditemui media selepas hadir dalam Majlis Kolokium Madani Perkhidmatan Awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Rabu.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mendakwa kerajaan mengalakkan rasuah dengan meletakkan syarat terhadap peruntukan Ahli Parlimen pembangkang.

Shahidan turut mempersoal kewajaran syarat yang dikenakan bagi peruntukan Ahli Parlimen pembangkang.

Minggu lalu, Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan beliau telah bertemu dua kali bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berhubung peruntukan Ahli Parlimen pembangkang.

Bagaimanapun jelasnya, pihak pembangkang bakal menghentikan rundingan atau permohonan peruntukan bagi kawasan mereka susulan syarat yang dikenakan terhadap mereka.