KUALA LUMPUR: Peruntukan sebanyak RM2.4 juta akan disediakan bagi membaik pulih sekolah-sekolah di daerah Yan yang terjejas akibat banjir.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin dalam entri terbaharu di laman Facebooknya pada Sabtu.

Jelas Radzi, ia melibatkan empat buah sekolah di daerah Yan, Kedah.

“Saya telah melawat dan meneliti keadaan empat buah sekolah yang terjejas akibat bencana banjir yang melanda daerah Yan pada 18 Ogos lepas.

“Setelah diberikan penerangan oleh pihak berwajib, saya mengumumkan peruntukan sebanyak RM2.4 juta bagi tujuan pembaikan sekolah-sekolah terbabit.

“Sekolah-sekolah tersebut adalah SMK Yan, SK Langkasuka, SJKC York Khoon dan SK Nyak Gam,” katanya.

Tambah Radzi, beberapa kerosokan dikenalpasti dan perlu diperbaiki atau diganti segera.

 
Sumber Facebook DrRadziJidin

Antaranya pagar, tandas, bilik darjah, kerusi dan meja murid, perabot serta peralatan sekolah.

“Bagi tujuan itu, saya telah mengarahkan Kementerian dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk segera membaikpulih setiap kerosakan dan membuat penggantian aset yang terjejas teruk kesan daripada bencana alam tersebut,” katanya lagi.

Penyaluran peruntukan jelas Menteri Kanan Pendidikan itu, akan dibuat secara berperingkat kepada JPN.

Malah keutamaan jelasnya diberi kepada sekolah menengah yang akan dibuka bagi sesi pembelajaran secara bersemuka dalam masa terdekat.