KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (Mindef) memperuntukkan RM8 juta bagi penyelenggaraan segera fasiliti di sekolah-sekolah dalam kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara termasuk di Sekolah Kebangsaan (SK) Kementah, di sini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, antara kerja menyelenggara yang akan dilaksanakan ialah membabitkan fasiliti asas dan pendawaian elektrikal.

Dengan peruntukan tersebut, beliau berkata ia bakal memanfaatkan lebih 20,000 pelajar dan 2,000 guru serta kakitangan sokongan.

“Peruntukan yang diumumkan hari ini hanya sebahagian daripada pelbagai lagi inisiatif pendidikan ATM yang telah dan akan dilaksanakan.

“Antaranya, Mindef turut merancang untuk memanjangkan inisiatif Studio Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dan Kelas Abad Ke-21 seperti yang ada di SK Kementah ke sekolah-sekolah dalam kem ATM di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Sebelum itu, Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong mengadakan lawatan ke SK Kementah dan Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) Desa Tun Hussein Onn (DTHO) bagi membolehkan beliau meninjau sendiri fasiliti yang terdapat di dua kawasan berkenaan.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, MINDEF turut meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi penyelenggaraan segera di RKMAT DTHO dan Jalan U-Thant.

Melalui peruntukan tersebut, beliau berkata ia dijangka memanfaatkan seramai 1,730 anggota ATM dan 20 warga awam Mindef di RKMAT DTHO, serta 270 anggota ATM dan 12 warga awam Mindef di RKMAT Jalan U-Thant.

“Saya telah arahkan supaya kerja-kerja penyelenggaraan ini dilaksanakan secepat mungkin demi keselesaan penghuni dua RKMAT ini.

“Saya sendiri akan pantau pelaksanaannya daripada masa ke masa.

“Kediaman merupakan keperluan yang mustahak, apatah lagi bagi anggota ATM yang selalu terpaksa meninggalkan anak dan isteri.

“Penting untuk ahli keluarga mereka ditinggalkan dalam kediaman yang selesa dan selamat sekali gus memastikan moral dan semangat anggota yang bertugas sentiasa di tahap terbaik,” ujar Hishammuddin lagi.

Sebagai Menteri Pertahanan, Hishammuddin berkata beliau dan kementerian komited menitikberatkan soal kediaman warga ATM.