BACHOK: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan tambahan RM500 juta untuk mengatasi masalah air bersih di Kelantan.

Beliau berkata peruntukan itu adalah hasil daripada perbincangan antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan negeri Kelantan sebelum ini.

"Kita bincang dengan kerajaan Kelantan untuk atasi masalah air bersih. Saya kata nak minta banyak sangat tidak boleh.

"Jadi kita mulakan projek, tetapi perlu dikendalikan bersama dan diuruskan mengikut saluran yang betul," katanya ketika berucap pada Program 'Temu Anwar Kelantan' di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Bachok, di sini hari ini, yang turut dihadiri lebih 5,000 penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) Kelantan.

Media sebelum ini melaporkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan menyediakan peruntukan berjumlah RM1 bilion kepada Kelantan untuk menyelesaikan masalah bekalan air di negeri itu bermula tahun ini.