BALING: Seorang pesakit lelaki berusia 30 tahun yang dipercayai melarikan diri dari Hospital Baling ditemui dalam keadaan selamat di kawasan Gunung Baling, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Baling, Supt Brandon Anak Richard Joe berkata, pihaknya menerima laporan pada 8.02 malam semalam mengenai kejadian tersebut.
“Pesakit tersebut dipercayai mengalami masalah kesihatan mental dan hasil maklumat diterima dia dikatakan berada di sekitar kawasan Kubur Lama, Kampung Lubuk Pedati, di sini.
“Susulan itu operasi mencari dan menyelamat dijalankan dengan membabitkan kekuatan 23 anggota terdiri daripada enam anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, 12 anggota Polis Diraja Malaysia dan lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pesakit tersebut ditemui pada pukul 1.25 pagi tadi sebelum dibawa ke Hospital Baling untuk rawatan dan pemeriksaan lanjut.
-- BERNAMA