Seorang pesara bomba bingung apabila kediamannya dirempuh 80 kali oleh kenderaan yang melalui jalan di depan rumahnya di Kampung Sungai Tong, Setiu.

Menurut Romly Ismail, 61, rempuhan itu berlaku selepas projek pelebaran jalan di hadapan rumahnya siap dibina.

Malah, kata beliau, kes rempuhan itu kebanyakkan berlaku ketika musim hujan.

"Minggu ini sahaja sudah lima ke enam kali rumah saya dirempuh," katanya kepada Astro AWANI.

Selain rumahnya, turut berisiko ialah rumah jirannya yang dihuni warga tua.

Sebagai langkah keselamatan, Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah meletakkan benteng batu untuk menghalang kenderaan daripada terbabas ke rumahnya, namun langkah berkenaan masih tidak dapat meredakan kebimbangan beliau.

Terbaru, dalam kejadian 7.30 pagi tadi, dua bersaudara nyaris maut selepas kereta Perodua Myvi yang dinaiki mereka terbabas dan merempuh rumah Romly, sebelum terbalik.

Kenderaan itu dipandu seorang pelajar yang berusia 18 tahun bersama sepupunya yang berusia 24 tahun.

Selepas bebepada minit, dua buah kenderaan lain turut terbabas di laluan berkenaan, membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah kereta.

Semua mangsa terlibat tidak mengalami kecederaan.