IPOH: Kerajaan negeri menggalakkan pesara kerajaan menceburi sektor pertanian moden dan industri agromakanan dengan memanfaatkan pengalaman serta kepakaran yang dimiliki bagi membantu memperkukuh ekonomi negeri dan agenda sekuriti makanan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata golongan pesara mempunyai pengalaman luas dalam bidang pentadbiran, kewangan, pengurusan projek dan kejuruteraan yang boleh dimanfaatkan untuk memacu pembangunan sektor itu.
Beliau berkata sektor pertanian kini bukan lagi dilihat sebagai pekerjaan tradisional, sebaliknya berkembang sebagai industri berteknologi tinggi yang menawarkan pulangan ekonomi yang baik.
"Pertanian hari ini menggunakan teknologi mekanisasi, automasi, Internet benda (IoT), kecerdasan buatan (AI), dron dan analitik data, jadi golongan pesara juga digalakkan meneroka perkara ini.
"Apabila pengalaman pesara digabungkan dengan teknologi moden, ia mampu melahirkan lebih ramai usahawan agromakanan yang berjaya serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Pesara 2026 Peringkat Kebangsaan anjuran Pertubuhan Pesara Kerajaan Malaysia (KUPEKMAS) di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini malam tadi.
Turut hadir, Presiden KUPEKMAS Datuk Omar Osman dan Pengerusi KUPEKMAS Perak Hassan Saadan.
Mohd Zolkafly berkata kerajaan negeri melalui jabatan dan agensi berkaitan bersedia membantu pesara yang berminat menceburi bidang pertanian menerusi program latihan, pemindahan teknologi, khidmat nasihat teknikal, pembangunan keusahawanan dan penyediaan rangkaian pemasaran.
“Usaha ini selaras dengan aspirasi Pelan Perak Sejahtera 2030 yang memberi penekanan kepada pemerkasaan modal insan, peningkatan pelaburan berkualiti serta pengukuhan sekuriti makanan.
“Kita juga sarankan agar syarikat berkaitan kerajaan (GLC), institusi kewangan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya memperkukuh kerjasama dalam menyediakan lebih banyak peluang ekonomi dan jaringan keselamatan sosial bagi meningkatkan kesejahteraan golongan pesara," katanya.
Katanya, kerajaan negeri turut merakamkan penghargaan kepada KUPEKMAS Perak atas usaha berterusan menghimpunkan dan menjaga kebajikan pesara serta memastikan sumbangan mereka kepada pembangunan negara terus dihargai.
Terdahulu, Mohd Zolkafly turut menyampaikan peruntukan kerajaan negeri berjumlah RM10,000 kepada KUPEKMAS sebagai sokongan terhadap pelaksanaan aktiviti dan program kebajikan pertubuhan itu.
-- BERNAMA