Skip to main content

Malaysia

Pesara rugi lebih RM112,000 terperdaya tawaran kerja sambilan dalam talian

61737090045_scam.jpg
Suspek menawarkan mangsa kerja sambilan membuat ulasan tentang pakaian berjenama dengan kadar komisen yang tinggi. - Gambar hiasan
Advertisement

KEMAMAN: Seorang pesara swasta kerugian RM112,228 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran kerja sambilan dalam talian yang menjanjikan pulangan komisen lumayan.

Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Mohd Razi Rosli berkata pada 8 Jun lepas, lelaki berusia 58 tahun itu telah melihat iklan kerja sambilan menerusi laman Facebook ketika berada di rumahnya.

Beliau berkata lelaki itu yang berminat dengan kerja sambilan berkenaan telah menghubungi suspek melalui aplikasi WhatsApp untuk mendapatkan maklumat berkaitan.

"Suspek menawarkan mangsa (pesara swasta) kerja sambilan membuat ulasan tentang pakaian berjenama dengan kadar komisen yang tinggi.

"Mangsa kemudian mengikuti arahan diberikan sebelum melakukan 11 transaksi wang ke enam akaun berbeza dari tempoh 8 hingga 18 Jun lepas kononnya bagi melengkapkan tugasan dan memperoleh komisen yang dijanjikan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Mohd Razi berkata mangsa menyedari ditipu setelah gagal mendapatkan sebarang bayaran daripada tugasan diberikan.

Susulan itu, mangsa telah membuat laporan polis pada 18 Jun dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement