KLANG: "Allahyarham pernah menyatakan hasrat mahu bantu tampung kos belanja kahwin adik perempuannya," demikian luah rakan kepada Muhamad Hafiz Muhamad Salleh, 32, yang maut dalam nahas pesawat terhempas di Elmina, Seksyen U16, Shah Alam, Khamis lalu.

Mohd Rosmaini Sahlan, 42, berkata rakannya yang merupakan penghantar makanan itu seorang yang baik dan bertanggungjawab terhadap keluarganya.

"Arwah pernah luah hasrat yang dia nak bantu adiknya yang bakal melangsungkan perkahwinan.

"Bab kerja memang arwah seorang yang rajin, dia sanggup kerja siang dan malam semata-mata nak bantu adiknya itu," katanya ketika ditemui di Masjid Ar-Rahimiah berdekatan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini pada Sabtu.

Katanya, dirinya merasakan janggal apabila melihat perubahan sikap Allahyarham kebelakangan ini.

"Dia lebih suka menyendiri sedangkan dia tidak seperti itu, perwatakannya yang saya kenali adalah seorang yang ceria serta peramah.

"Saya tak sangka, itu antara petanda yang dia akan meninggalkan saya dan rakan-rakan lain buat selama-lamanya," katanya.

Jenazah Muhamad Hafiz diuruskan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan disembahyangkan di Masjid Ar-Rahimiah Klang sebelum dibawa untuk dikebumikan di tanah perkuburan Masjid Al Huda, Kampung Jerung, Sungai Petani.

Pada Khamis, seramai 10 mangsa disahkan terkorban dalam nahas pesawat jenis jet peribadi itu.

Mangsa terdiri daripada lapan penumpang dan kru pesawat, selain dua orang awam iaitu penunggang motosikal dan pemandu kereta yang kebetulan berada di lokasi nahas. - Sinar Harian