SUNGAI PETANI: Jenazah Allahyarham Muhamad Hafiz Muhamad Saleh, 32, salah seorang mangsa pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Huda Kampung Jerung, di sini, hari ini.

Jenazah Allahyarham disemadikan kira-kira pukul 3.15 petang selepas selesai solat jenazah di masjid terbabit.

Dianggarkan lebih 1,000 orang termasuk saudara-mara dan masyarakat setempat hadir ke masjid berkenaan bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Terdahulu, penghantar makanan itu merupakan jenazah pertama yang sah dikenal pasti identiti melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Jenazah kemudiannya telah dimandi dan dikapankan oleh petugas Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Masjid Jamek Ar-Rahimiah berdekatan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) sebelum dituntut oleh bapanya, Muhamad Salleh, 57, pada kira-kira pukul 9.30 pagi.

Nahas pesawat persendirian ringan jenis Beechcraft 390 (Premier 1) di Persiaran Elmina, Shah Alam, kelmarin mengorbankan 10 nyawa termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.

Muhamad Hafiz yang juga anak sulung daripada lima beradik adalah pekerja p-hailing yang kebetulan lalu di lokasi kejadian dan menjadi antara 10 mangsa yang maut dalam nahas tersebut.

Berita pemergian Allahyarham juga mencuri perhatian orang ramai ekoran kejadian yang tidak disangka-sangka terjadi kepadanya ketika sedang mencari rezeki.

Menurut saksi kejadian, Allahyarham sempat menyebut ‘Allahuakbar’ sebelum menghembuskan nafas terakhir.